Monday, June 2, 2008

Teater Muzikal P.Ramlee





Sepanjang minggu ini berlangsung Teater Muzikal P.Ramlee di Istana Budaya. Oleh kerana kami merupakan antara peminat seniman tersohor P.Ramlee, maka kami pun tidak melepaskan peluang menonton teater tersebut. Kebetulan pula hari itu genap 35 tahun pemergian Tan Sri P.Ramlee ke Rahmatullah. Inilah kali pertama aku menonton teater di Istana Budaya. Malam itu Istana Budaya penuh dengan penonton termasuklah beberapa orang kenamaan dan selebriti. Pada aku Istana Budaya memang canggih dan props yang digunakan sepanjang pementasan teater ini amat mengujakan dan memberikan kesan visual dan audio yang menarik perhatian penonton.

Menonton teater ini, dapat aku katakan bahawa pementasan teater muzikal P.Ramlee ini adalah kisah sebenar kehidupannya dan lebih berkisar kepada kisah percintaan dan perkahwinan P.Ramlee. Memang menarik dan menyeronokkan. Ada unsur percintaan, persahabatan, konflik keluarga, kisah sedih, dan komedi. Kalau hendak tahu lebih lanjut mengenai teater ini, apa lagi luangkanlah masa anda ke Istana Budaya. Tontonlah sendiri teater muzikal P.Ramlee iaitu sebuah kisah hidup seniman serba boleh dan terulung negara kita yang bagi aku setelah 35 tahun pemergiannya masih tiada galang gantinya. Al-fatihah untuk Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template