Tuesday, July 1, 2008

Pertandingan persembahan e-PPDa Peringkat Gabungan Tawau






Agak lama juga aku tidak menulis dalam blog ini. Sejak sesi persekolahan semester 2 dibuka inilah kali pertama aku menulis. Kali ini aku ingin kongsikan peristiwa pertandingan persembahan power point e-PPDa peringkat Gabungan Tawau yang diadakan di SMK Umas-Umas pada 26 Jun 2008.

Perjalanan ke SMK Umas-Umas mengambil masa lebih kurang dua jam. Kami berangkat dari sekolah kira-kira pukul 7.00 pagi dan sampai pukul 9.00 pagi. Inilah kali pertama aku sampai ke sekolah ini yang terletak lebih seratus kilometer dari sekolahku. Sekolah ini terletak dalam kawasan Felda Umas. Berbalik kepada pertandingan ini, sebanyak 11 buah sekolah sekitar Tawau dan Semporna telah mengambil bahagian dan setiap sekolah menghantar 3 orang pelajar sebagai peserta. SMK Balung telah diwakili oleh Mohd Farith Gandah, Zulariel Arian, dan Hairfienney Hairoland. Ketiga-tiga mereka merupakan pelajar Tingkatan 4 Sains 1.

Dalam pertandingan ini, para peserta dikehendaki membina power point mengenai "Masyarakat Madani Tanpa Dadah" selama 3 jam dan selepas tempoh itu mereka dikehendaki pula membuat "presentation". Pada akhir pertandingan keputusan diumumkan dan SMK Balung hanya mendapat tempat keempat dengan 75 markah. Johan telah disandang oleh SMK Jalan Apas dengan 80 markah, kedua SMK Kuhara dengan 79 markah dan ketiga SMK Abdullah Semporna dengan 77 markah. Agak sengit juga pertandingan kali ini. Apapun tahniah kepada SMK Jalan Apas kerana telah menjadi johan yang akan mewakili Gabungan Tawau ke pertandingan persembahan e-PPDa peringkat negeri Sabah yang akan diadakan di Maktab Sabah Kota Kinabalu dalam bulan ini. Kepada sekolah yang lain cuba lagi pada tahun hadapan.

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template