Sunday, August 31, 2008

Selamat Berpuasa


Bulan Ramadan bulan penuh kemuliaan tiba lagi. Alhamdulillah mulai esok seluruh umat Islam di Malaysia akan menjalani ibadat puasa dan solat Tarawih juga dimulai tadi setelah Penyimpan Mohor Besar Raja-raja mengumumkannya. Kepada semua umat Islam di Malaysia dan di mana saja berada saya ucapkan Selamat Berpuasa dan semoga kesempatan yang diberikan ini diisi dengan segala amalan untuk mencari keredhaan Allah. Salam Ramadhan.

Selamat Hari Kebangsaan Ke-51


Laungan merdeka kedengaran di sini sana sejak 12 tengah malam tadi hinggalah ke saat ini. Dengan tema Perpaduan Teras Kejayaan sambutan Hari Kebangsaan ke-51 disambut secara sederhana namun meriah di segenap pelusuk negara. Kibaran bendera dan perarakan sejak 12 tengah malam dan pagi tadi menunjukkan kemeriahan sambutan kemerdekaan kali ini. Namun yang lebih penting, sambutan merdeka bukan sekadar mengibarkan bendera atau berarak tetapi menuntut penghayatan dan kesedaran dalam diri setiap rakyat Malaysia. Pada saya sambutan merdeka tidak akan bermakna jika sekadar luaran sahaja tanpa penghayatan dan kesedaran dari segi pemikiran, sikap dan perlakuan seluruh rakyat Malaysia. Sesungguhnya yang lebih penting adalah memerdekakan pemikiran, sikap dan perlakuan daripada perkara-perkara yang tidak mendatangkan kebaikan. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-51 kepada seluruh warga Malaysia.

Saturday, August 9, 2008

Soalan Percubaan SPM dan STPM Sabah 2008

Assalamualaikum.
Demam peperiksaan percubaan datang lagi. Cikgu pasti dalam bulan Ogos dan September ini kebanyakan sekolah mengadakan peperiksaan percubaan yang diselaraskan mengikut negeri. Semestinya pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM dan STPM tahun ini sedang sibuk mengulangkaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan percubaan masing-masing. Peperiksaan percubaan negeri Sabah telah pun berakhir. Melalui laman blog ini cikgu muat masuk soalan-soalan percubaan SPM dan STPM pelbagai subjek untuk dikongsikan kepada para pelajar di negeri-negeri yang lain. Pelajar hanya perlu muat turun daripada menu yang terdapat di sebelah kanan blog ini. Selamat mencuba.

Monday, August 4, 2008

Seminar Tora-tora Pengajian Am 2

Encik Ong Boon Hock menyampaikan seminar Bahagian A, B dan C

Puan Hayati Aris menyampaikan seminar Bahagian D dan E

Antara Peserta Seminar


25 Hb Julai yang lalu aku berkesempatan mengikuti Seminar Tora-tora Pengajian Am 2 yang dianjurkan oleh Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pelajaran Sabah dengan kerjasama Majlis Guru Cemerlang Sabah dan Pejabat Pelajaran Gabungan Tawau. Seminar ini telah diadakan di SM ST. Patrick Tawau bermula pukul 8.00 pagi hingga 4.30 petang dan melibatkan guru-guru Pengajian Am dari gabungan Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu. Seminar ini telah disampaikan oleh 2 orang guru cemerlang Pengajian Am iaitu Puan Hayati Aris (Merupakan bekas guru ketika aku menuntut di SMK Tawau dan mengajar aku Pengajian AM 2 bahagian D & E) dan En. Oong Boon Hock dari Kota Kinabalu High School. Seminar ini sesungguhnya banyak memberikan aku maklumat berguna khususnya dari segi teknik menjawab dan cara menyemak skrip jawapan pelajar. Selain itu melalui seminar ini kami dapat bertukar-tukar maklumat dan pandangan serta dapat menjalinkan silaturrahim serta kerjasama.

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template