Sunday, January 25, 2009

Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina


Sesungguhnya negara kita amat bertuah kerana kepelbagaian kaum yang terdapat di Malaysia. Keadaan ini membolehkan pelbagai perayaan dapat dirayakan oleh masyarakat Malaysia. Esok, 26 Januari 2009, seluruh masyarakat berketurunan Tionghua bakal merayakan sambutan Tahun Baharu Cina. Perayaan ini bukan sahaja disambut oleh masyarakat berketurunan Tionghua di negara kita, bahkan juga diraikan bersama oleh segenap lapisan rakyat Malaysia.


Semangat toleransi yang wujud antara masyarakat majmuk berbilang kaum di negara kita berjaya memupuk permuafakatan dan menjadi budaya dalam kehidupan setiap rakyat negara ini. Saya berharap setiap kita menghayati bahawa nilai-nilai keharmonian, permuafakatan, semangat muhibbah dan persefahaman yang kita kecapi selama ini adalah hasil daripada sikap toleransi yang lahir daripada setiap sanubari rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Menurut zodiak Cina, lembu adalah simbol kekuatan, keazaman serta tidak pernah berputus asa dalam mencapai sesuatu matlamat. Malah, ketibaan tahun lembu dianggap sebagai satu tanda perubahan, kemajuan dan tenaga positif. Semoga Tahun Lembu memberikan sinar kejayaan kepada seluruh rakyat Malaysia dan dapat mencontohi semangat kegigihan dan ketekunan yang ada pada Lembu. Kepada bekas guru-guru saya, bekas pensyarah saya di UUM dan Maktab Perguruan Gaya, pelajar-pelajar saya, rakan-rakan, jiran-jiran dan seluruh rakyat Malaysia berketurunan Tionghua, saya mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina dan semoga kita semua akan memperolehi kemakmuran, kesejahteraan dan kebahagiaan.

Thursday, January 15, 2009

Kursus Kenegaraan - Dalam Kesejukan dan Keindahan Kundasang

Mulai hari ini 15 Januari sehingga 19 Januari 2009 saya mengikuti Kursus Kenegaraan di Kem Bina Negara Kundasang. Saya bertolak dari Tawau seawal pukul 7.30 pagi dan sampai di Kundasang pukul 3.30 petang. Musim hujan ketika ini menyebabkan suhu di Kundasang ini agak sejuk sehingga mencecah 8 darjah celcius. Terletak di atas bukit, kawasan persekitaran kem ini begitu indah dengan berlatar belakangkan Gunung Kinabalu. Bagaimanapun dalam keadaan cuaca sejuk sebegini kawasan sekitar dilitupi kabus tebal.




































Monday, January 5, 2009

Selamat Kembali ke Sekolah

Hari ini bermulanya sesi persekolahan 2009. Guru-guru kembali sibuk meneruskan tugas mendidik anak bangsa manakala pelajar kembali untuk menimba ilmu setelah bercuti panjang. Pada kebiasaannya hari pertama persekolahan, guru-guru khususnya guru kelas agak sibuk dengan rutin pengurusan kelas dan pelajar. Proses P & P juga sudah dimulakan dan sudah tentulah proses penyediaan Buku Rekod Mengajar menjadi keutamaan. Apatah lagi hari pertama persekolahan pegawai-pegawai dari PPD masing-masing biasanya akan turun ke sekolah membuat pemantauan. Belum lagi dengan pelbagai ragam pelajar yang baru memulakan persekolahan. Keadaan sebegini biasanya mengundang tekanan kepada guru-guru. Apa pun juga keadaannya itulah resam seorang guru. Kita telah memilih menjadi seorang insan bergelar guru. Laksanakanlah tugas yang telah diamanahkan sebaik mungkin serta hadapilah segalanya dengan tenang dan penuh keihklasan. Selamat kembali ke Sekolah.

Thursday, January 1, 2009

Cipta Kecemerlangan Baiki Peribadi, 2009 Menguji Diri

Hari ini kita melangkah masuk ke tahun baharu 2009 dan tahun 2008 meninggalkan kita dengan pelbagai cerita suka duka yang pasti menjadi kenangan dan sejarah dalam hidup kita. Setiap kali tiba tahun baharu ada dua perkara yang perlu untuk kita fikir dan renungkan iaitu merefleksi semula perkara yang telah kita lakukan dan pencapaian kita sepanjang tahun 2008, dan kedua menanamkan azam serta menetapkan matlamat untuk kita jayakannya sepanjang tahun 2009. Kita jadikan segala pengalaman sepanjang tahun 2008 sebagai pengajaran dan kita buka lembaran baru pada tahun 2009 dengan tekad dan hasrat untuk terus mencipta kecemerlangan dan memperbaiki diri.

Selamat Tahun Baharu 2009. Semoga tahun 2009 akan lebih baik buat kita semua dan pastinya banyak ujian dan cabaran yang perlu kita tempuhi.


Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template