Friday, July 8, 2011

Pesan Hari Kelahiran

Pesan Hari Kelahiran

Julai satu hari bulan
setiap tahun kauraikan
hari kelahiran
sedang kematian pun semakin dekat
tanpa sebarang utusan pesan
apakah cukup bekalan amalan?

Selamat hari lahir Musri
susurilah arus diri
di muara kasih Illahi
sebelum berlabuh di perhentian hayat
ke negeri abadi berbekal iman
kepada-Mu Tuhan kudamba ampunan

MUSRI KADIR

01 Julai 2011
Tawau, Sabah

Sunday, November 21, 2010

Selamat Menduduki Peperiksaan SPM dan STPM 2010


Saya ingin mengucapkan selamat menduduki peperiksaan SPM dan STPM yang akan bermula pada 23 November 2010 (Selasa) kepada semua pelajar yang mengambil peperiksaan tersebut khususnya kepada anak didik saya Tingkatan 5 Sains 1, 5 Bestari, 5 Fasih dan 6 Atas Arif di SMK Balung Tawau. Pastikan anda membaca soalan dan memahami kehendak soalan sebelum mula menjawab. Selamat berjuang, dan saya doakan semoga anda semua dapat menjawab dengan cemerlang khususnya kertas Bahasa Melayu SPM dan Pengajian Am STPM.

Friday, September 10, 2010

Salam Aidilfitri 1431H


Walau tidak dapat bertemu,
Tangan tidak dapat bersalam,
Ucapan tidak dapat didengar,
Mata tidak dapat bertentang,
Mohon ampun dan maaf segala silap,
yang nampak dan tersembunyi,
Kerana ada ketikanya,
Mata tersilap pandang,
Telinga tersalah dengar,
Lidah terlanjur kata,
dan hati tersalah duga,
Salam Aidilfitri 1431H,
MAAF ZAHIR BATIN,

Daripada MUSRI KADIR & ISTERI

Friday, August 27, 2010

Mencari Diri


Mencari diri

Dalam usia sebegini

aku masih mencari diri

antara garis waktu dan baris pengalaman

terasa diri dikejar dosa masa lalu

Akulah pencari diri

berlari di kaki langit

mengejar mentari

namun sirna dan pergi

di ufuk bumi

Ketika malam melabuhkan tirai


Dalam gelap dan kelam

berjalan di dada malam

masih aku mencari diri

lalu kutemui sejalur cahaya

dalam jubah hidayah-Mu


di sudut sejadah

aku menemui diriku

aku hanya segenggam tanah

yang hina dan lemah

akan kembali ke negeri abadi

Musri Kadir

Tawau, Sabah

27 Ogos 2010

17 Ramadan 1431

Thursday, August 26, 2010

Nikmat Ujian



Terima kasih penderitaan
aku belajar menghargai
nikmat kesenangan

Terima kasih kesusahan
mengajar aku menjadi lebih tabah
mengharungi cabaran dan dugaan

Terima kasih kesukaran
aku mengerti akan kesyukuran
menghargai segala nikmat kurniaan

Terima kasih kegagalan
memberiku kekuatan
bangun dan kembali bangkit
menyusun langkah meneruskan perjuangan

Terima kasih cabaran
menguatkan azam
agar aku teguh membulatkan tekad
mengharungi rintangan menggapai kejayaan

Terima kasih keji dan caci
menyedarkan aku
tidak tenggelam dilambung sanjung dan puji

Terima kasih kritikan
menyedarkan aku
agar selalu muhasabah merenung diri
memperbaiki kesilapan diri

Terima kasih Tuhan
memberi nikmat dan ujian
aku belajar mengenal kehidupan
aku belajar mengerti keinsanan
aku reda menerima ketentuan

Musri Kadir
Tawau, Sabah
25 Ogos 2010
15 Ramadan 1431

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template