Monday, November 9, 2009

Jamuan Perpisahan Tingkatan 5 dan 6 Atas

Hari ini adalah hari yang sungguh istimewa bagi kebanyakan guru kerana dapat menikmati pelbagai juadah yang disediakan oleh para pelajar. Pelajar-pelajar tingkatan 5 dan 6 atas yang bakal menduduki peperiksaan SPM dan STPM mengadakan jamuan perpisahan kelas masing-masing. Kelas saya, tingkatan 5 Arif turut tidak ketinggalan mengadakan jamuan perpisahan. Meskipun sambutannya sederhana namun kesungguhan mereka bekerjasama menjayakan jamuan tersebut membuat perasaan saya sedikit sebak. Semoga jamuan ini meninggalkan memori indah sebelum tiba detik perpisahan. Beginilah beberapa gelagat pelajar dan guru yang sempat dirakam melalui lensa kamera.












Saya juga telah menghadiri jamuan perpisahan tingkatan 6 Atas Arif, 6 Atas Dinamik dan 5 Fasih. Kelas-kelas ini merupakan anak didik saya bagi subjek Pengajian Am dan Bahasa Melayu. Terima kasih saya ucapkan dan semoga ilmu yang dicurahkan dapat digunakan dalam menghadapi peperiksaan SPM dan STPM. Terima kasih juga kepada Tingkatan 6 Atas Cekap kerana sudi mengundang saya menjamu hidangan yang disediakan walaupun saya tidak mengajar kelas tersebut. Saya doakan semoga anda semua berjaya dalam peperiksaan yang bakal menjelang.









Monday, October 12, 2009

Koleksi Soalan Percubaan Pengajian Am STPM 2009

Kepada semua pelajar yang bakal menduduki peperiksaan STPM 2009, anda boleh mendapatkan koleksi soalan percubaan Pengajian Am dari beberapa buah negeri yang cikgu muat masuk ke dalam blog ini. Anda boleh memuat turun koleksi soalan tersebut di bahagian bawah sebelah kanan blog ini. Selamat mencuba.

Sunday, September 20, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Selamat Jalan Ramadan
bulan sejahtera segalanya
bulan penuh rahmat
datangmu membawa keampunan
membersihkan diri dari noda dan dosa
keburukan dipalingkan kebaikan dilimpahkan
dan kemuliaan malam Al-Qadar
lebih baik dari seribu bulan

Ya Allah,
dengan berlalunya Ramadan
lepaskan kami dari kesilapan kami
keluarkan kami dari kesalahan kami
lepaskan kami dari segala musibah
berkati kehidupan kami

Ya Allah, dengan datangnya Syawal yang mulia ini
Ampuni dosa-dosa kami yang tampak dan tersembunyi
Ampuni dosa ayah dan ibu kami
Ampuni dosa adik beradik kami
Ampuni dosa sahabat-sahabat kami
Ampuni dosa guru-guru kami
Ampuni dosa murid-murid kami
Ampuni dosa jiran-jiran kami
dan ampuni dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat
Wahai Yang Maha Pengasih dari segala yang mengasihi

dari lubuk hati kami penyesalan yang paling dalam
dari lidah kami permohonan maaf yang paling tulus
Selamat Hari Raya Aidilfitri
Mohon maaf zahir dan batin

Musri Kadir dan Keluarga

Sunday, September 13, 2009

Al-Qadr : Malam Seribu Bulan


Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur’an) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sampai terbit fajar. [Al Qadr: Ayat 1 - 5]


Anugerahi Aku Malam Seribu Bulan

Ya Rabb
Sekian lamanya
aku mencari dan menanti
dalam debar kerinduan penuh pengharapan
malam seribu bulan
yang tersembunyi di balik Arasy-Mu

Saat malam membisu dan sepi
semesta alam bertasbih dalam sunyi
akulah sang setia yang ikhlas
tegar menanti tanpa rintih
mengisi malam dengan amal
tasbih, tahmid, takbir dan zikir bersatu
larut dalam tafakur
memuja-Mu penuh syukur
dengan rasa kehambaan dan derai air mata keinsafan
mendamba ampunan
memugar cinta menyulam harap kasih-Mu
menanti rahmat malam seribu bulan

Datanglah Al-Qadr
datanglah kepadaku
dalam hening malam penuh kerinduan yang tak tertahankan
kunjungi jiwaku bersama janji malam seribu bulan
bekal amalan dan rahmat keampunan
di pengakhiran Ramadan penuh keberkatan

Ya Rahman, Ya Rahim
kupersembahkan munajat perkasihan ini kepada-Mu
anugerahi aku kemuliaan malam seribu bulan
menerangi amalku ke langit ketakwaan

Musri Kadir
Taman Sri Indah, Tawau
23 Ramadan 1430H
13 September 2009

Monday, September 7, 2009

Merenung Diri


Merenung Diri

Setelah sekian lamanya
tersesat dalam angin dan kabut
di lautan nafsu yang membadai
hingga hampir lemas aku
dalam gelombang duniawi

Mujur sinar Ramadan yang datang
bersama sinar rahmat Nya
membisik lembut salam titipan Illahi
menerbit cahaya fikir
mengetuk pintu kalbu
agar kembali merenung diri
mencari fitrah insani
mengenal hakikat dan makrifat
dalam kesempatan yang singkat
sebelum berangkat pergi
ke negeri abadi

Dalam sujud pada Mu Rabbi
merenung dan muhasabah diri
doa dan tangis silih berganti
menangisi dosa-dosa silam
hingga kering kolam air mata
tumpah membasahi tasik hati
menyuci peribadi
mengalir insaf ke segenap sudut penjuru
urat darah dan denyut nadi

Ya Rabbul Izzati
kurniai sepasang sayap iman
untukku terbang ke langit taubat

Musri Kadir
Taman Sri Indah, Tawau
2.30 pagi
17 Ramadan 1430 H
07 September 2009

Sajak ini telah disiarkan dalam ruangan Sanggar Kreatif Berita Minggu bertarikh 25 Oktober 2009 (Ahad)

Thursday, September 3, 2009

Belasungkawa: Amil Jaya, Perginya Seorang Sasterawan


Petang semalam kita kehilangan sasterawan tersohor di Sabah apabila Ismail Abbas, 70 tahun yang dikenali dengan nama penanya Amil Jaya menghembuskan nafas terakhirnya. Sebagai seorang mantan peserta Minggu Penulis Remaja 1992 yang pernah mengikuti diskusi bersama beliau yang ketika itu merupakan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, saya turut berasa sedih dan kehilangan. Beliau begitu sinonim dengan perkembangan bahasa dan sastera di Sabah. Antara cerpen beliau yang paling saya ingati ialah cerpen “Lintah”. Malah cerpennya “Tragedi” merupakan salah satu cerpen yang terpilih dan dimuatkan dalam Antologi Kerusi yang merupakan Komponen Sastera (KOMSAS) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu SPM. Sesungguhnya pemergian Pak Ismail merupakan satu kehilangan yang besar kepada dunia bahasa dan sastera tanahair khususnya di Sabah.

Salam Takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga rohnya di tempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah.

Hidup Jiwa Meski Tiada

Petang rabu yang kelabu

Ramadan bulan penuh rahmat

kau pergi menemui Pencipta

tinggalkan kami dengan sejuta kenang dan ingat


Ilmu yang ditabur

dan akal ilham penamu

jadi panduan teladan

pengalaman yang mendewasakan

kerdil insan sepertiku

bagaimana mungkin dapat dilupa

segala jasa yang ditinggalkan?


Al-Fatihah buat Pak Ismail

kemesraan masih terasa

bersama hidup jiwa

di setiap dada

meski dirimu telah tiada



Musri Kadir

Taman Sri Indah, Tawau

10.20 malam

3 September 2009


Sajak ini telah tersiar dalam Akhbar Berita Harian bertarikh 12 September 2009 (Sabtu)


Friday, August 21, 2009

Salam Ramadan dan Selamat Berpuasa


SEPURNAMA getir tabah
menahan ombak ujian-Nya
ketika angin songsang
dari rahang nafsu
mengemudikan bahtera insani
kita kembali menyucikan peribadi
dengan kerdipan iman
dan luhur ketakwaan
semoga mutiara yang luruh
dari seberkas jiwa yang kudus
adalah manik-manik muhasabah
yang terpancar dari pancaran
istiqamah.

Ramadan yang singgah ini
meluruhkan perca-perca keinsafan
menerangi malam-malam kebesaran
dengan cahaya kebenaran
di halaman mubarak ini
kita abadikan cinta insani
buat Rabbul Izzati.

Selamat menjalani ibadat puasa kepada seluruh umat muslimin dan muslimat. Semoga Ramadan yang singgah ini Ramadan yang akan menerangi kegelapan hati-hati kita menuju redha serta kasih sayang Ilahi.

Tuesday, August 11, 2009

Analisis KOMSAS 2009 - Puisi Tradisional/Puisi Moden

GENRE

TAHUN

TAJUK

ANTOLOGI

PUISI TRADISIONAL

/

PUISI MODEN

SPM N 2001

Sajak – Aku Menjadi Lebih Berani

Anak Laut

SPM U 2002

Syair – Syair Jong Pecah

Kerusi

SPM N 2002

Gurindam – Gurindam Baris Hadapan

Anak Laut

SPM U 2003

Sajak – Keindahan Yang Hilang

Kerusi

SPM N 2003

Sajak – Tukang Gunting

Kerusi

SPM U 2004

Pantun – Pantun Mengenang Nasib

Anak Laut

SPM N 2004

Seloka – Seloka Pandai Pak Pandir

Kerusi

SPM U 2005

Syair – Syair Dandan Setia dan Intan Terpilih

Anak Laut

SPM N 2005

Sajak – Sejarah

Kerusi

SPM U 2006

Sajak – Pembeli Masa Sudah

Anak Laut

SPM N 2006

Syair – Syair Pembunuhan Angreni

Anak Laut

SPM U 2007

Sajak – Di Kota Kecilku

Kerusi

SPM N 2007

Gurindam - Memelihara Anggota Dan Hati Daripada Kejahatan

Kerusi

SPM U 2008

Sajak – Manusia dan Kesejahteraan

Anak Laut

SPM N 2008

Pantun Lapan Kerat

Kerusi

SPM U 2009

Pantun Kiasan

Anak Laut

SPM N 2009

JANGKAAN

Sajak - Anak Laut

Sajak - Derita Pertama

Sajak - Jalan jalan raya kotaku

Sajak - Duhai Pentafsir

Sajak - Di Ruang Gemanya

Seloka - Seloka Pak Kaduk

Pantun - Pantun Enam Kerat

Syair - Syair Kelebihan Ilmu

Anak Laut

Anak Laut

Anak Laut

Kerusi

Kerusi

Anak Laut

Kerusi

Kerusi


Berdasarkan analisis, belum pernah ada pengulangan tajuk dalam peperiksaan SPM sebenar mahupun SPM Ulangan sejak 2001. Hal ini berlaku demikian kerana bahagian puisi moden dan puisi tradisional mempunyai pilihan tajuk yang luas. Bagi puisi moden, terdapat tiga tajuk daripada antologi Anak Laut dan dua tajuk daripada antologi Kerusi yang belum pernah diuji. Bagi puisi tradisional pula, terdapat tiga tajuk yang belum pernah diuji iaitu satu tajuk daripada antologi Anak Laut dan dua tajuk daripada antologi Kerusi. Analisis juga menunjukkan bahawa puisi tradisional telah dua kali berturut-turut menjadi tajuk pilihan iaitu dalam peperiksaan SPM sebenar 2008 dan SPM Ulangan 2009. Berdasarkan anlisis tersebut pelajar boleh memberi fokus kepada tajuk-tajuk yang dijangka tanpa mengabaikan tajuk-tajuk lain. Pelajar perlu banyak membuat latihan menjawab soalan-soalan daripada tajuk-tajuk berkenaan dan membincangkan jawapannya dengan guru-guru anda.


Monday, August 10, 2009

Analisis KOMSAS 2009 - Prosa Klasik

GENRE

TAHUN

TAJUK PETIKAN

ANTOLOGI

PROSA KLASIK

SPM N 2001

Cerita Bayan Tiada Menurut Kata Ibu bapanya

Anak Laut

SPM U 2002

Pertarungan Tuah dan Jebat

Anak Laut

SPM N 2002

Kezaliman Membawa Padah

Kerusi

SPM U 2003

Sikap Terburu-buru Akan Membawa Padah

Anak Laut

SPM N 2003

Asal Usul Raja Kecil

Kerusi

SPM U 2004

Kepahlawanan Tun Beraim Bapa

Kerusi

SPM N 2004

Sikap Terburu-buru Akan Membawa Padah

Anak Laut

SPM U 2005

Kezaliman Membawa Padah

Kerusi

SPM N 2005

Cerita Bayan Tiada Menurut Kata Ibu bapanya

Anak Laut

SPM U 2006

Sikap Terburu-buru membawa padah

Anak Laut

SPM N 2006

Kepahlawanan Tun Beraim Bapa

Kerusi

SPM U 2007

Pertarungan Tuah dengan Jebat

Anak Laut

SPM N 2007

Asal Usul Raja Kecil

Kerusi

SPM U 2008

Kezaliman Membawa Padah

Anak Laut

SPM N 2008

Peminangan Puteri Gunung Ledang

Anak Laut

SPM U 2009

Sikap Terburu-buru Akan Membawa Padah

Anak Laut

SPM N 2009

JANGKAAN

Sabor

Kepahlawanan Tun Beraim Bapa

Cerita Bayan Tiada Menurut Kata Ibu bapanya

Pertarungan Tuah dengan Jebat

Asal Usul Raja Kecil

Kerusi

Kerusi

Anak Laut

Anak Laut

Kerusi


Berdasarkan analisis di atas, hanya tajuk Sabor (Antologi Kerusi) sahaja yang belum pernah diuji dalam peperiksaan SPM. Analisis juga menunjukkan bahawa terdapat pengulangan tajuk yang diuji dalam peperiksaan SPM sebenar mahupun peperiksaan SPM Ulangan. Selain itu, analisis turut menunjukkan tajuk daripada Antologi Anak Laut sudah tiga kali dikeluarkan secara berturut-turut sejak SPM Ulangan 2008, SPM Sebenar 2009 dan SPM Ulangan 2009. Berdasarkan analisis ini ada kemungkinan tajuk daripada Antologi Kerusi akan diuji dalam peperiksaan SPM 2009. Oleh itu, pelajar perlu memberi fokus kepada tajuk-tajuk yang dijangka tanpa mengabaikan tajuk-tajuk lain.


Friday, August 7, 2009

Analisis KOMSAS 2009

GENRE

TAHUN

TAJUK PETIKAN

ANTOLOGI

PROSA MODEN

SPM N 2001

Cerpen – Tragedi

Kerusi

SPM U 2002

Cerpen – Sebutir Pasir di Kaki

Kerusi

SPM N 2002

Drama – Seri Nara

Anak Laut

SPM U 2003

Drama – Titik-titik perjuangan

Anak Laut

SPM N 2003

Cerpen – Menatap Wajahnya

Anak Laut

SPM U 2004

Cerpen – Aku, Kris dan Kristal

Kerusi

SPM N 2004

Cerpen – Budi Yang Tak Terbeli

Anak Laut

SPM U 2005

Drama – Seri Nara

Anak Laut

SPM N 2005

Drama – Puteri Li Po

Kerusi

SPM U 2006

Drama – Jangan Bunuh Rama-rama

Kerusi

SPM N 2006

Cerpen – Kerana Manisnya Epal

Anak Laut

SPM U 2007

Cerpen – Mariah

Kerusi

SPM N 2007

Drama – Titik-titik Perjuangan

Anak Laut

SPM U 2008

Cerpen – Pusaran

Anak Laut

SPM N 2008

Cerpen – Di sisi Rinda

Kerusi

SPM U 2009

Drama – Kerusi

Kerusi

SPM N 2009

JANGKAAN

Drama – Serunai Malam

Cerpen – Annys Sophiliea

Cerpen - Lambaian Malar Hijau

Cerpen – Virus Zel Untuk Abah

Anak Laut

Anak Laut

Anak Laut

Kerusi


Berdasarkan analisis di atas, hanya drama Titik-titik Perjuangan sahaja yang pernah diulang semula iaitu dalam peperiksaan SPM Ulangan 2003 dan SPM sebenar 2007. Oleh yang demikian pelajar perlu memberikan fokus kepada tajuk-tajuk yang belum pernah diuji tanpa mengabaikan tajuk-tajuk lain. Anda perlu mengumpul soalan-soalan berkenaan tajuk petikan tersebut dan mencubanya sebagai latihan pengukuhan.

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template