Thursday, September 3, 2009

Belasungkawa: Amil Jaya, Perginya Seorang Sasterawan


Petang semalam kita kehilangan sasterawan tersohor di Sabah apabila Ismail Abbas, 70 tahun yang dikenali dengan nama penanya Amil Jaya menghembuskan nafas terakhirnya. Sebagai seorang mantan peserta Minggu Penulis Remaja 1992 yang pernah mengikuti diskusi bersama beliau yang ketika itu merupakan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, saya turut berasa sedih dan kehilangan. Beliau begitu sinonim dengan perkembangan bahasa dan sastera di Sabah. Antara cerpen beliau yang paling saya ingati ialah cerpen “Lintah”. Malah cerpennya “Tragedi” merupakan salah satu cerpen yang terpilih dan dimuatkan dalam Antologi Kerusi yang merupakan Komponen Sastera (KOMSAS) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu SPM. Sesungguhnya pemergian Pak Ismail merupakan satu kehilangan yang besar kepada dunia bahasa dan sastera tanahair khususnya di Sabah.

Salam Takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga rohnya di tempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah.

Hidup Jiwa Meski Tiada

Petang rabu yang kelabu

Ramadan bulan penuh rahmat

kau pergi menemui Pencipta

tinggalkan kami dengan sejuta kenang dan ingat


Ilmu yang ditabur

dan akal ilham penamu

jadi panduan teladan

pengalaman yang mendewasakan

kerdil insan sepertiku

bagaimana mungkin dapat dilupa

segala jasa yang ditinggalkan?


Al-Fatihah buat Pak Ismail

kemesraan masih terasa

bersama hidup jiwa

di setiap dada

meski dirimu telah tiada



Musri Kadir

Taman Sri Indah, Tawau

10.20 malam

3 September 2009


Sajak ini telah tersiar dalam Akhbar Berita Harian bertarikh 12 September 2009 (Sabtu)


1 comments:

Zamzairi said...

Innalillah.

I had met the late some time ago in KK when I was still a secondary school student. I had a language programme in DBP Sabah at that time. His daughter was also my schoolmate.

Rest In Peace

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template