Monday, March 5, 2012

Setiap Anak Adalah Istimewa

Kita sering pesimis dengan filem-filem Hindustan yang sering menayangkan cerita-cerita cinta yang klise. Namun setelah menonton filem Taare Zameen Par yang disiarkan di TV3 petang semalam, sangkaan saya ternyata meleset. Industri filem Bollywood mampu membuktikan bahawa mereka juga tidak ketandusan idea untuk memaparkan sesuatu yang lari daripada kebiasaan.


Mengangkat kisah seorang kanak-kanak disleksia dengan tagline Setiap Anak Adalah Istimewa, filem ini amat menyentuh nurani saya dan benar-benar meninggalkan kesan. Mungkin juga kerana filem ini begitu dekat dengan dunia pendidikan yang saya ceburi, selain jalan ceritanya yang menarik dan lakonan berkesan pendukung watak utamanya iaitu Ishan kanak-kanak berumur 8 tahun dan Mr. Nikhumb seorang guru lakonan Amir Khan.


Filem ini dibuka dengan baik sekali. Kita diperkenalkan dengan watak utama filem ini iaitu kanak-kanak bernama Ishan. Sorotan kamera yang kemas dan pilihan babak-babak yang sesuai, mengkayakan pengalaman dan pemahaman kita terhadap karektor Ishan sebagai seorang kanak-kanak disleksia. Watak Ishan dilakonkan dengan amat baik oleh pelakon kanak-kanak tersebut, seolah-olah pelakon cilik itu benar-benar mempunyai kesulitan seperti watak dalam filem. Lakonannya bersahaja dan hidup. Wajahnya yang lurus naif dan pancaran emosi yang halus dan tulus sesuai dengan bentuk kesulitan yang dialaminya. Tidak sekalipun saya rasakan bahawa dia sedang berlakon, tetapi saya seolah-olah dibawa masuk dalam hidup kanak-kanak ini untuk menyelami sikap dan karektor seorang kanak-kanak disleksia.


Kerana disleksia, Ishan sentiasa melihat huruf menari-nari. Keadaan ini menyebabkan dia sukar untuk membaca dan menulis. Saya suka dengan pengunaan animasi dalam menceritakan hal ini dengan lebih jelas. Namun Ishan mempunyai kelebihan dalam bidang seni dan mempunyai daya imaginatif yang sangat tinggi. Ishan juga sering membayangkan sesuatu melebihi orang lain. Menariknya, hal ini juga digambarkan melalui animasi.


Lakonan ibu bapa dan abang Ishan juga baik. Saya fikir adalah normal untuk kita rasa kecewa dengan watak ayah. Beliau sentiasa membandingkan Ishan dengan anak sulungnya sedangkan mereka adalah berbeza. Mereka adalah perlambangan watak kita sebagai manusia biasa. Kekecewaan terhadap watak ayah baik sekali jika kita dalami dan jadikan pengajaran dalam hidup.


Paparan watak guru-guru dalam filem ini wajar diselami dan diinsafi. Sememangnya ada kebenaran dalam dunia realis kita terlalu mengejar kecemerlangan akademik sehinggakan dalam menyampaikan ilmu kita lupa akan kepelbagaian latar belakang murid. Oleh itu, dalam pengajaran kita selalu memarahi, menghukum dan melabel bahkan terkadang menghina murid kita sendiri sehingga meruntuhkan keyakinan mereka.


Walau bagaimanapun, watak guru yang dilakonkan oleh Amir Khan mengangkat kembali martabat guru sebagai seorang pendidik. Mr. Nikhumb, seorang guru seni yang baru tiba, yang kemudiannya memahami kesulitan Ishan telah menemukan banyak jalan yang indah dalam membantu Ishan. Mr. Nikhumb berusaha mengembalikan keyakinan Ishan dan mengembangkan bakatnya dalam bidang seni. Bahkan dalam kelasnya Mr. Nikhumb telah menceritakan Albert Enstein juga pada mulanya tidak pandai membaca dan menulis tetapi menjadi orang yang hebat dan menjadi sebutan hingga hari ini. Caranya mendidik Ishan menulis dan mengira menambahkan pengetahuan saya dan memberi inspirasi dalam memahami cara pendidikan kreatif.


Sikap memahami, perhatian dan kasih sayang Mr. Nikhumb dalam mendidik Ishan membolehkan Ishan akhirnya mampu membaca dan menulis. Kemenangan Ishan dalam pertandingan melukis yang melibatkan semua murid dan guru benar-benar telah memberi satu pandangan baru terhadap Ishan. Watak-watak yang pada asalnya memandang rendah pada Ishan berubah termasuklah bapa Ishan yang keras. Begitu indah dan menyentuh perasaan kerana membuatkan saya sedar setiap manusia ada peluang untuk berubah dengan izin Tuhan. Saya merasakan ada air mata yang mengalir.


Saya paling ingat cerita Mr. Nikhumb. “Di kepulauan Solomon, jika penduduknya ingin menerangkan kawasan hutan, mereka tidak akan menebang pokok-pokok, tetapi mereka akan memaki hamun pokok itu sehingga layu dan mati dengan sendirinya". Pada saya, ini satu peringatan bahawa kita sebenarnya membunuh impian anak, keluarga, dan orang lain sekiranya kita selalu melemparkan tanggapan dan kata-kata negatif terhadap mereka.

1 comments:

banzanfaatz said...

El Yucateco® Casino and Resort in Santa Barbara - MapYR
El Yucateco® Casino and Resort is 진주 출장안마 a two-story, 전라남도 출장샵 6 story high-rise building in 전라남도 출장마사지 Valley Center, California, 김천 출장마사지 U.S.A.. View a detailed profile of the structure 수원 출장마사지 12

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template