Friday, February 27, 2009

Kursus Eduwebtv

Baru-baru ini saya berpeluang mengikuti satu kursus yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Sabah iaitu Kursus Eduwebtv. Kursus yang dijalankan selama dua hari ini memberi pendedahan kepada para guru tentang konsep Eduwebtv.

Eduwebtv telah dibangunkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai satu wadah pendidikan digital untuk Semua. Eduwebtv juga merupakan satu usaha untuk mengurangkan jurang digital antara kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.

Eduwebtv merupakan portal pendidikan interaktif berasaskan video yang boleh digunakan dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P). Berlandaskan kepada Pendidikan Digital untuk semua, eduwebtv merupakan portal berasaskan kepada video pendidikan yang mempunyai 7 saluran yang mempunyai fokus dan matlamat yang berbeza iaitu saluran Berita, Akademik, Rencana, Wawancara, Kurikulum, Interaktif dan Siaran Langsung.

Paparan eduwebtv

Saluran Berita mengandungi video berkaitan aktiviti Kementerian Pelajaran dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris. Saluran berbentuk Berita dalam Pendidikan (News in Education) ini menyiarkan aktiviti Kementerian Pelajaran, isu semasa pendidikan, polisi kerajaan dan program pendidikan di sekolah.

Saluran Akademik mengandungi video berkaitan akademik seperti kursus ahli akademik dalam dan luar negara. Melalui saluran ini, guru dan murid dapat berkongsi pengalaman ahli-ahli akademik yang boleh menjadi pembakar semangat dan pencetus inspirasi.

Saluran Rencana merupakan rancangan khas untuk sebaran dan perkongsian maklumat. Contohnya, Pendidikan Teknik dan Vokasional, aktiviti pendidikan dan amalan-amalan terbaik dalam pendidikan.

Saluran Wawancara pula menyiarkan temubual bersama personaliti pendidikan yang berperanan mewarnai hala tuju program dan agenda pendidikan negara. Para guru dan pelajar dapat mengenali personaliti pendidikan negara dan isu-isu yang dibincangkan dapat dijadikan sebagai panduan.

Saluran Kurikulum mengandungi bahan P&P yang diterbitkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) seperti rancangan berasaskan kurikulum sekolah rendah dan sekolah menengah. Dengan kata lain, saluran ini merupakan TV Pendidikan secara atas talian yang memberi peluang kepada para guru dan pelajar mengikuti P&P dalam pelbagai matapelajaran seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Matematik, Pendidikan Islam, Sains dan Sejarah.

Saluran Interaktif menyediakan video program utama Kementerian Pelajaran seperti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) serta Pembestarian Sekolah.

Saluran Siaran Langsung pula menyiarkan rakaman siaran langsung program anjuran Kementerian Pelajaran seperti Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2008.

Bagi membolehkan para guru dan pelajar mengikuti eduwebtv antara keperluan asas ialah pelayar Web Internet Explorer (6 dan ke atas), Windows Media Player (9 dan ke atas), saiz paparan 1024 x 768 ‘pixel’, Sistem Pengoperasian Windows 98 dan akaun e-mel (untuk pendaftaran eduwebtv).

Sebagai rumusan, kursus selama dua hari ini memberi pengenalan dan pendedahan serta gambaran secara menyeluruh mengenai portal eduwebtv. Hasilnya para guru boleh membuat eksplorasi ke atas portal eduwebtv dengan sendiri untuk digunakan dalam proses P&P. Para guru dan pelajar boleh mengeksplorasinya di www.eduwebtv.com.

2 comments:

P'su said...

salam berkunjung... psu-seni.blogspot.com

jaarsmtd said...

salam,
cgu guna ke eduweb tu?
cam takdan nak guna ngan bdk2 je
apa2 pun keep blogging ;p

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template