Eko pelancongan, juadah istimewa, pusat membeli-belah dan keindahan alam sering menjadi tarikan berkunjung ke sesuatu lokasi. Namun, bagi bandar raya bersejarah tersohor Melaka, negeri ini menawarkan pakej percutian lengkap walaupun pernah mengalami zaman keruntuhan empayar Kesultanan Melayu Melaka.
Siapa tidak pernah mendengar zaman kegemilangan empayar Melaka suatu ketika dahulu dan penjajahan kuasa Eropah yang masing-masing ingin menguasai wilayah yang dianggap paling strategik ketika itu? Deretan bangunan zaman kolonial Portugis, Belanda, dan British serta tinggalan sejarah Zaman Kesultanan Melayu Melaka membuktikan segalanya, dan kini menggamit pengunjung termasuk pelancong asing menjejaki Melaka Bandar Raya Bersejarah yang telah diisytiharkan sebagai salah satu tapak warisan dunia.
Siapa tidak pernah mendengar zaman kegemilangan empayar Melaka suatu ketika dahulu dan penjajahan kuasa Eropah yang masing-masing ingin menguasai wilayah yang dianggap paling strategik ketika itu? Deretan bangunan zaman kolonial Portugis, Belanda, dan British serta tinggalan sejarah Zaman Kesultanan Melayu Melaka membuktikan segalanya, dan kini menggamit pengunjung termasuk pelancong asing menjejaki Melaka Bandar Raya Bersejarah yang telah diisytiharkan sebagai salah satu tapak warisan dunia.
Kunjungan saya ke Melaka Sabtu dan Ahad lepas menjanjikan pengalaman berbeza dengan keunikan tersendiri. Tentunya tinggalan sejarah empayar Kesultanan Melayu Melaka dan zaman penjajahan Portugis, Belanda, British dan Jepun amat mengujakan saya selain terpukau dengan keenakan juadah, serta keindahan bandar raya bersejarah ini dari menara Taming Sari.
Lagenda sakti Taming Sari, keris milik pahlawan terbilang ketika zaman kesultanan Melaka kini diabadikan dalam skala lebih besar, iaitu menara tinjau berputar setinggi 110 meter yang menjadi tarikan terbaru pelancong ke bandar raya bersejarah ini. Menjadi tarikan pelancong pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara, Menara Taming Sari dibina dengan kos kira-kira RM 23 juta dengan mengambil model The Super Gyro Tower 1200 dari Switzerland, ciri unik yang hanya terdapat di enam lokasi di seluruh dunia.
Lagenda sakti Taming Sari, keris milik pahlawan terbilang ketika zaman kesultanan Melaka kini diabadikan dalam skala lebih besar, iaitu menara tinjau berputar setinggi 110 meter yang menjadi tarikan terbaru pelancong ke bandar raya bersejarah ini. Menjadi tarikan pelancong pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara, Menara Taming Sari dibina dengan kos kira-kira RM 23 juta dengan mengambil model The Super Gyro Tower 1200 dari Switzerland, ciri unik yang hanya terdapat di enam lokasi di seluruh dunia.
Menara Taming Sari mempunyai kabin unik yang boleh memuatkan 80 orang pada satu-satu masa, dengan bayaran RM 10 seorang. Setiap perjalanan naik dan turun mengambil masa kira-kira tujuh minit. Kabin akan berhenti pada ketinggian 80 meter, sebelum berputar dengan putaran 360 darjah. Dari kabin pada ketinggian 80 meter ini, saya dapat menyaksikan keindahan Bandar Raya Bersejarah Melaka pada waktu malam yang disinari dengan cahaya lampu berwarna-warni. Satu pengalaman yang belum pernah saya alami. Sungguh mengujakan.
Dalam kabin Menara Taming Sari dan bersedia untuk naik ke atas
Pemandangan indah Dataran Pahlawan dari Menara Taming Sari
Lampu warna-warni menyimbahi malam bandar raya Melaka
Kenderaan penuh sesak membanjiri bandar raya Melaka
Kembara ke Melaka amat menarik kerana saya boleh melihat pelbagai kesan tinggalan sejarah Eropah, Jepun, Cina, India dan Melayu. Tidak lengkap kunjungan saya jika tidak merakamkan kenangan di kota bersejarah A Famosa, bangunan merah Stadhuys yang menjadi antara ikon bandar raya. Bukit St Paul di puncak bukit di kota ini menjadi saksi kemaraan kuasa asing yang pernah menawan Melaka. Kawasan lama di sekitar Gereja Christ Church, peninggalan bangunan St Paul, bangunan Stadthuys dan Porto de Santiago semuanya terletak berhampiran di antara satu sama lain dan bangunan-bangunan yang berwarna kemerahan di sini menjadikannnya kelihatan berbeza. Kawasan berdekatan pintu gerbang kota A Famosa ini juga menempatkan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan dan Muzium Maritim.
Di sekitar kawasan ini terdapat banyak perkhidmatan beca yang dihiasi dengan perhiasan bunga-bungaan, beraneka warna malah ada juga yang memasang lagu untuk menarik pelanggan. Dengan sikap ramah dan pengetahuan mereka yang mendalam mengenai bandar raya bersejarah ini, mana mungkin untuk saya tidak mencubanya. Lantas saya mengambil beca dan pengayuh beca iaitu Encik Rahman membawa saya ke sekitar bandar lama yang mempunyai pelbagai tinggalan sejarah. Saya dibawa mengunjungi Makam Hang Jebat seorang daripada pahlawan empayar Melayu Melaka pada zaman pemerintahan Sultan Mansor Shah yang akhirnya mati dibunuh oleh Hang Tuah kerana dianggap menderhaka kepada sultan.
Makam Hang Jebat
Sambil menyusuri jalan-jalan sempit, saya mengamati dan mengagumi reka bentuk seni bina pelbagai gaya yang mencerminkan budaya masyarakat berbilang kaum di sini. Melaka pada zaman kegemilangannya merupakan sebuah pelabuhan strategik yang banyak menerima pengaruh Portugis, Belanda, Inggeris serta pengaruh penduduk tempatan yang terdiri dari pelbagai bangsa seperti Melayu, Cina dan India. Hal ini terbukti apabila kami menyusuri Harmoni Street yang menempatkan kuil India, Masjid Kampung Kling dan Kuil Cheng Hoon Teng yang terletak tidak jauh antara satu sama lain. Masjid Kampung Kling merupakan antara masjid tertua yang dibina pada 1748 dengan ciri-ciri binaan yang unik menggabungkan seni bina Sumatera, China dan Melayu Melaka. Kuil Cheng Hoon Teng pula merupakan kuil tertua di negara ini yang dibina pada 1673 sejak orang-orang Cina mula bermastautin di Melaka.
Kuil Cheng Hoon Teng yang dibina pada tahun 1673
Menyusuri jalan-jalan sempit, saya seterusnya ke Kampung Ketek sebuah perkampungan Melayu yang merupakan tempat kelahiran Bapa Kesusasteraan Melayu Moden iaitu Abdullah Munsyi. Di kampung ini juga terdapat makam Syamsudin Al-Sumatarani seorang ulamak, sasterawan dan pahlawan Acheh pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda.
Kampung Ketek satu-satunya perkampungan Melayu yang masih wujud
di bandar lama Melaka yang kini didominasi oleh Kaum Cina
di bandar lama Melaka yang kini didominasi oleh Kaum Cina
Makam Syamsudin Al-Sumatarani, seorang ulamak yang berasal dari Acheh
Seterusnya saya dibawa ke satu-satunya kedai yang masih menjual “Bound Feet Shous” iaitu kasut kecil berukuran 3 inci yang melambangkan kecantikan bagi masyarakat Cina suatu ketika dahulu. Melihatkan kasut sebesar itu, saya terfikir bagaimana mereka menggunakan kasut sebesar itu khususnya bagi gadis-gadis cina suatu ketika dulu untuk mencapai taraf kecantikan dari perspektif masyarakat ketika itu.
Saya kemudiannya ke Makam Hang Kasturi salah seorang pahlawan Melayu zaman pemerintahan Sultan Mansor Shah dan seterusnya menyusuri jalan sempit menuju ke sebuah bangunan yang dahulunya dimiliki oleh Che Yam Tuan. Kini bangunan tersebut dimiliki oleh keluarga Tan Cheng Lock. Mengamati reka bentuk dan seni bina bangunan tersebut lantas mengundang kekaguman saya.
Makam Hang Kasturi
Bangunan CYT yang kini menjadi milik keluarga Tan Cheng Lock
Terletak di hadapan ialah Hotel Puri yang menarik. Asalnya Hotel Puri dikenali sebagai House of Tan Kim Seng. Bangunan Hotel Puri kelihatan seperti sebuah rumah kedai Cina yang lama dari luar tetapi di dalamnya mempunyai bilik-bilik dengan gaya hiasan yang anggun dan seni bina berbeza. Ianya mempunyai sebuah halaman dalam yang terbuka dengan landskap yang menarik dan digunakan sebagai tempat berehat. Yang menariknya hotel ini mempunyai sebuah perigi lama yang masih digunakan sehingga hari ini.
Perigi lama yang masih membekalkan sumber air kepada Hotel Puri
Ingin menyusuri Sungai Melaka dengan “Melaka River Cruise”, Encik Rahman membawa saya ke jeti berhampiran. Setelah bersalaman dan mengucapkan terima kasih kepada Encik Rahman pengayuh beca yang sekaligus menjadi pemandu pelancong, saya menaiki "Melaka River Cruise” dengan bayaran RM 10 seorang. Menyusuri Sungai Melaka selama lebih kurang 40 minit memberikan satu pengalaman yang berlainan kerana saya dapat melihat panorama sekitarnya. Antara yang menarik perhatian saya ialah sebuah perkampungan Melayu yang mempunyai seni bina dan hiasan menarik. Eyes on Malaysia juga nampak jelas apabila menyusuri Sungai Melaka dengan "Melaka River Cruise".
Selesai pengembaraan menggunakan "Melaka River Cruise" saya kemudiannya memasuki pusat membeli- belah Dataran Pahlawan. Jika ingin mendapatkan cendera mata atau barangan sebagai kenang-kenangan, terdapat banyak pusat kraftangan di pusat membeli belah ini yang menyediakan pelbagai jenis barangan cendera mata.
Matahari kian terbenam dan senja mulai menjelang. Sebentar lagi malam akan tiba. Bermakna saya akan meninggalkan bandar raya bersejarah ini. Begitu cepat masa berlalu. Dua hari seakan tidak mencukupi untuk menjejaki semua tempat menarik di bandar raya bersejarah ini. Ketika malam melabuhkan tirainya saya meninggalkan Melaka Bandar Raya Bersejarah dengan pelbagai pengetahuan dan pengalaman baru - suatu kenangan manis.
3 comments:
selamat aidiladha
terima kasih kerana sudi melawat negeri kami....dan juga membantu memperomosikan juga...harap kembali semula insyallah..
Masa baca entri ni bbrp minggu lps, KLong teruja nak melawat Melaka. Lps lwt Zoo, KLong teringinlah nak ke Dataran Pahlawan. Masa sampai Bandar Hilir tu, KLong tak sedar yg KLong dah sampai. Terkejut KLong tengok perubahan Dataran Pahlawan tu. Lama betul KLong tak ke Melaka rupanya.Tapi syg sungguh sbb kLong cuma blh melawat dr dlm kereta je sbb langsung tak ada parking. Nampaknya KL tpaksalah melawat Melaka dlm blog cigku je.
Post a Comment