Siapa yang tidak mengenali destinasi pelancongan popular Pulau Langkawi? Terkenal dengan sejarah Mahsuri yang kini menjadi lagenda, pulau yang diberikan status bebas cukai ini pasti tidak menghampakan dengan keindahan dan kedamaian alam serta pelbagai pusat peranginan yang menggamit pelancong.
Kunjungan saya selama 2 hari dua malam, membawa saya kembali menjejaki pulau peranginan ini setelah 10 tahun tidak berkunjung. Kali terakhir saya mengunjungi pulau ini 10 tahun yang lalu ketika menuntut di UUM Sintok. Sepuluh tahun lalu saya mengunjungi Pulau Langkawi menggunakan feri dari jeti Kuala Perlis. Meskipun penerbangan dari LCCT ke Langkawi berlepas pukul 10.15 malam, lewat sejam dari jadual asal namun kelewatan tersebut tidaklah mengganggu perancangan percutian kerana penerbangan ke Langkawi hanya mengambil masa lebih kurang satu jam. Apatah lagi hotel penginapan iaitu Hotel Helang terletak beberapa meter sahaja dari Lapangan Terbang Langkawi. Cukup mudah untuk sampai ke hotel ini.
Langkawi adalah sebuah pulau yang sarat dengan misteri dan lagenda Mahsuri yang kini menjadi sejarah. Justeru, menjejaki Pulau Langkawi seakan tidak sempurna sekiranya tidak mengunjungi Kompleks Kota Mahsuri yang terletak di Ulu Melaka. Saya memulakan penjelajahan ke Kompleks Kota Mahsuri yang menempatkan Makam Mahsuri yang dilengkapi dengan muzium, panggung teater dan rumah tradisional Kedah selain sebuah perigi yang digelar sebagai Perigi Mahsuri. Di sini saya dapat menyingkap sejarah Mahsuri.
Mahsuri merupakan anak pasangan Pandak Mayah dan Mak Andam yang dilahirkan pada penghujung kurun ke-18 Masihi di Kampung Ulu Melaka. Kehidupan dan sejarah Mahsuri menjadi lagenda pulau tersebut yang sememangnya terkenal dengan kisah misterinya.
Kata-kata terakhir Mahsuri amat masyhur kerana menjadi sumpahan. Mahsuri bersumpah untuk tidak menghalalkan darahnya jatuh ke bumi kerana beliau mangsa fitnah dan mengutuk pulau Langkawi untuk tidak tenteram dan permai ibarat padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan.
Menurut lagenda, Mahsuri mengalirkan darah berwarna putih kerana kata-katanya yang tidak menghalalkan darahnya jatuh ke bumi. Deramang turut dibunuh kemudiannya. Mahsuri dikatakan meninggal pada tahun 1819 masihi bersamaan 1235 Hijrah. Seminggu selepas Mahsuri dibunuh, Wan Derus pulang setelah Kedah gagal menewaskan Siam. Selepas mengetahui akan hakikat tentang isterinya, dia kecewa lalu membawa anaknya, Wan Hakim keluar dari Langkawi. Sejurus itu, tentera Siam menyerang pulau tersebut. Langkawi hancur dan hangus.
Sebelum 1980-an, Langkawi memang tidak makmur hinggakan orang mengatakan yang kerbau lebih banyak berbanding manusia di sana. Menjelang 1980-an, Langkawi menjadi lebih makmur. Ada yang menyatakan kemakmuran itu disebabkan lahirnya keturunan ketujuh Mahsuri menamatkan segala sumpahan Mahsuri ke atas pulau Langkawi. Keturunan ketujuh Mahsuri iaitu Sirintra Yayee atau Nong May atau nama Melayunya, Wan Aishah binti Wan Nawawi menetap di pulau Phuket, ketika pertama kali dijejaki.
Kini, pulau yang kaya dengan keindahan semula jadi dan lagenda masa silam ini telah menampilkan diri sebagai salah satu daripada destinasi pelancongan yang paling popular di Malaysia.
Perjalanan diteruskan ke Beras Terbakar yang terletak di Padang Mat Sirat. Padang Beras Terbakar merujuk kepada satu tempat kejadian yang dikatakan berlaku sejurus selepas Mahsuri dihukum bunuh, pada 1821, Siam telah datang menjajah Pulau Langkawi.
Dato Karma Jaya telah mengumpulkan beras di Padang Mat Sirat sebagai persediaan menghadapi perperangan, dan apabila mendapati pihaknya tidak mampu mematahkan serangan tentera-tentera Siam, Dato Karma Jaya telah memerintahkan beras-beras tersebut dibakar bagi menghalang beras tersebut dirampas oleh pihak Siam.
Baki beras terbakar itu masih boleh didapati di kawasan Padang Mat Sirat, Kampung Raha. Pada suatu masa dahulu, ramai pelancong yang mengutip beras-beras tersebut. Oleh yang demikian, kawasan tersebut kini dipagar bagi menghalang baki beras terbakar yang semakin sedikit itu daripada habis dikutip para pelancong. Beras-beras tersebut dikatakan disimpan di bawah tanah sebelum dibakar. Bagaimanapun dikatakan bahawa beras terbakar tersebut akan terdedah pada hari hujan.
Di sini juga terdapat rumah melayu yang boleh dilawati. Berdekatan dengan kawasan ini terdapat gerai-gerai yang menjual pakaian, kain batik, kain pelikat, Minyak Gamat, Tongkat Ali, Kacip Fatimah dan lain-lain lagi. Pada setiap hari Ahad pasar malam akan beroperasi disekitar tempat ini.
Saya seterusnya ke Pantai Cenang yang menjadi tumpuan pelancong yang meminati keindahan alam. Selain tarikan pantai yang memutih dan laut yang membiru, Pantai Cenang juga menjadi tumpuan kerana di sinilah Underwater World Langkawi yang menempatkan lebih 5000 jenis ikan serta lebih 500 spesies haiwan termasuk anjing laut, singa laut dan penguin. Uniknya di Underwater World saya dipertontonkan dengan pelbagai hidupan air dalam terowong bercermin sepanjang 15 meter dengan 800,000 liter air masin. Akuarium di Underwater World adalah antara yang terbesar di Asia, yang membuatkan saya terpegun dan berasa seolah-olah berada dalam laut. Underwater World dibuka setiap hari dari pukul 10.00 pagi hingga 6.00 petang dengan bayaran RM 28 seorang. Terdapat juga kompleks membeli-belah di sini yang menyediakan pelbagai barangan cendera mata untuk di bawa pulang.
Hari kedua, pengembaraan diteruskan ke Oriental Village yang terdapat di kaki bukit Pergunungan Machincang untuk merasai sendiri keseronokan menaiki kereta kabel Langkawi. Malangnya ketika saya sampai lebih kurang pukul 10.30 pagi kereta kabel Langkawi ditutup kerana angin kencang. Saya difahamkan kereta kabel Langkawi biasanya ditutup sekiranya angin kencang atas faktor keselamatan dan kami dimaklumkan kereta kabel Langkawi akan dibuka semula sekiranya angin telah reda.
Pada mulanya agak kecewa juga kerana kemungkinan tidak berkesempatan menaiki kereta kabel. Tambahan pula tidak tahu sampai bila angin akan reda. Sambil menunggu angin reda dan kereta kabel dibuka semula saya mengambil peluang berjalan-jalan di sekitar Oriental Village yang merupakan salah satu pusat membeli-belah bebas cukai unik yang menghadap pemandangan Teluk Burau. Rekabentuk bangunannya yang eksklusif menampakkan ciri-ciri budaya setempat dan merupakan salah satu pusat beristirehat yang unggul. Landskap yang indah dan dilengkapi dengan kemudahan seperti hotel, surau, taman haiwan dan sebagainya.
Akhirnya setelah angin reda lebih kurang pukul 12.30 tengah hari kami dimaklumkan bahawa kereta kabel dibuka semula. Syukur Alhamdulillah tercapai juga hajat untuk merasai pengalaman menaiki kereta kabel yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai kereta kabel tanpa tiang terpanjang di negara ini yang sememangnya mempunyai keistemewaan tersendiri. Projek kereta kabel ini adalah jaringan kereta kabel jenis gondola enam tempat duduk yang membabitkan jarak keseluruhan perjalanan sepanjang 2.2 kilometer dengan bayaran RM15 bagi dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak dan dibuka dari pukul 10.00 pagi hingga 6.00 petang. Ketika menaiki kereta kabel menuju puncak Gunung Machincang, perasaan saya berbaur antara seronok dapat menaiki kereta kabel dan menikmati pemandangan menakjubkan; dan perasaan takut dan seram apabila sesekali gondola bergoyang ditiup angin kencang.
Sepanjang perjalanan ke puncak Gunung Machincang, saya juga disajikan dengan panorama indah sekitar Pulau Langkawi sehingga ke perairan sekitarnya. Lebih istimewa, kereta kabel berkenaan mempunyai dua stesen sepanjang perjalanan yang memberi peluang kepada pelawat untuk singgah di pertengahan jalan atau meneruskan destinasi ke puncak Gunung Machincang. Perjalanan kira-kira 15 minit berakhir di stesen puncak Gunung Machincang. Ketika berada di puncak gunung, saya menghabiskan masa bersiar-siar di atas pelantar setinggi 710 meter dari aras laut, yang dibina khas untuk menyaksikan pemandangan lebih menyeluruh kawasan sekitar. Cukup mengujakan!
Pemandangan indah yang dirakam dari kereta kabel
Dari situ, saya dapat melihat Bandar Kuah, Gunung Raya, Taman Geoforest Kilim, Air Terjun Temurun, Taman Geoforest Dayang Bunting Marble dan Pantai Cenang. Walaupun hanya mengambil masa lima belas minit perjalanan ke puncak gunung tetapi pengalaman yang dinikmati amat mengasyikkan itu membuatkan saya leka dengan sajian keindahan dan kehijauan hutan banjaran Gunung Machinchang, gua-gua kecil serta air terjun Telaga Tujuh selain keindahan perairan Andaman yang terbentang luas. Di sinilah berlaku satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan apabila topi saya diterbangkan angin kencang dan tidak dapat diambil semula.
Jambatan Tergantung atau lebih terkenal sebagai ‘Hanging Bridge’ sepanjang 125 meter merupakan satu lagi ciptaan moden yang amat menarik. Saya berasa amat bertuah dapat berada di Gunung Machincang ini dan peluang ini tercapai melalui pembinaan jambatan moden dan kereta kabel ini. Bukan sahaja saya dapat melihat keindahan pergunungan dan hutan belantara khatulistiwa, namun saya dapat merasai kenyamanan udara yang memberikan suatu ketenangan hati dan jiwa kepada saya dan semua pengunjung. Sesekali timbul juga rasa gerun apabila jambatan ini bergoyang ditiup angin kencang.
Sudah tentu, pengalaman ini memberikan suatu pengalaman berbeza, baik ketika mendaki puncak gunung mahupun saat pulang semula ke Oriental Village. Selepas merasai sendiri pengalaman menaiki kereta kabel di Pulau Langkawi, suatu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, apatah lagi setelah disajikan dengan keindahan panorama yang cukup menakjubkan! Sungguh, adalah satu kerugian jika tidak mencubanya.
Dari Langkawi Kabel Car, saya seterusnya ke Pekan Kuah. Kalau ke Pekan Kuah sudah tentulah untuk membeli belah. Salah satu pusat membeli belah yang terkenal di sini ialah Haji Ismail Group yang menyediakan pelbagai barangan seperti pinggan mangkuk, kain batik, coklat dan sebagainya.
Destinasi terakhir saya ialah Dataran Helang yang merupakan mercu tanda Langkawi dan juga merupakan tugu tumpuan pelancong yang terkemuka di pulau ini. Dataran ini menempatkan patung helang setinggi 12 meter yang menggambarkan Lang yang bermaksud Helang yang akhirnya diangkat menjadi nama pulau Langkawi. Kedudukan patung Lang gergasi ini terletak bersebelahan dengan pelantar jeti Kuah, dengan sayap berkepak sedia untuk menyusur ke udara menjadikannya satu pemandangan yang mengkagumkan bagi para pelancong yang sedia untuk berlabuh di pulau ini. Pada waktu malam, seluruh dataran diterangi dengan lampu. Dari laut, panorama adalah menakjubkan. Suasana malam sungguh mengasyikkan dengan cahaya lampu daripada kapal yang berlabuh.
Jam menunjukkan pukul 8.30 malam dan saya bergegas kembali ke hotel. Saya seterusnya bergerak ke Lapangan Terbang Langkawi kerana penerbangan pulang ke Kuala Lumpur dijadual pada pukul 10.50 malam. Sebentar lagi Pulau lagenda ini akan ditinggalkan. Sesungguhnya percutian kali ini, walaupun singkat, tetapi melakar memori indah kerana impian menyingkap lagenda Mahsuri dan menikmati keindahan Langkawi menjadi kenyataan.
0 comments:
Post a Comment