Monday, December 1, 2008

Belasungkawa : Al - Fatihah - Datuk Razali Ismail


Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail 59 tahun meninggal dunia di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands kira-kira 6.30 petang 28 November 2008 dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di Jalan Sultan Ismail Kuala Terengganu jam 2.00 petang 29 November 2008. Saya masih ingat ketika saya menuntut di Maktab Perguruan Gaya pada tahun 2003, saya telah mengikuti dua kursus iaitu Kursus Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar Maktab Perguruan Zon Sabah yang diadakan di Hotel Perkasa Keningau dan Kursus Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar Maktab Perguruan Malaysia yang diadakan di Hotel Mandarin Kuala Lumpur. Ketika itu beliau merupakan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru dan dalam kedua-dua kursus tersebut beliau telah hadir merasmikan kursus tersebut serta meluangkan masa bersama pemimpin-pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar Maktab-maktab Perguruan. Kepada saya, secara peribadi saya berpendapat beliau merupakan seorang yang peramah, mudah mesra dan mudah didekati serta begitu komited dalam tugas. Beliau juga seorang yang suka berfalsafah dan saya masih ingat antara kata-katanya kepada kami "pemenang sentiasa mencari jawapan kepada setiap masalah manakala orang yang kalah sentiasa mencari masalah kepada setiap jawapan" . Sebagai warga kementerian Pelajaran, saya merasakan pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang besar. Al-fatihah kita sedekahkan kepada Allahyarham dan semoga mendapat rahmat Allah dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Sesungguhnya daripada Allah kita datang dan kepada Allah jualah kita semua akan kembali.

Biodata

Allahyarham dilahirkan di Hulu Terengganu pada 25 Jun 1949.

Mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang dan meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.

Melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dalam bidang sejarah dan Sarjana Pendidikan di Birmingham, United Kingdom.

Memulakan kerjaya sebagai guru, dan pensyarah di beberapa buah maktab perguruan di Malaysia.

Menjadi timbalan pengetua di Maktab Perguruan Kota Bharu sebelum dilantik pengetua Maktab Perguruan Pasir Panjang, Kuala Terengganu dan kemudiannya di Maktab Perguruan Batu Rakit, Kuala Terengganu.

Dinaikkan pangkat sebagai pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran pada 2002.

Dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran pada 2008.

Allahyarham meninggalkan balu Datin Nooraini Lob Yusoff dan lima orang anak.

0 comments:

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template