Tuesday, December 30, 2008

Menyingkap Lagenda Mahsuri, Menikmati Keindahan Langkawi

Siapa yang tidak mengenali destinasi pelancongan popular Pulau Langkawi? Terkenal dengan sejarah Mahsuri yang kini menjadi lagenda, pulau yang diberikan status bebas cukai ini pasti tidak menghampakan dengan keindahan dan kedamaian alam serta pelbagai pusat peranginan yang menggamit pelancong.

Kunjungan saya selama 2 hari dua malam, membawa saya kembali menjejaki pulau peranginan ini setelah 10 tahun tidak berkunjung. Kali terakhir saya mengunjungi pulau ini 10 tahun yang lalu ketika menuntut di UUM Sintok. Sepuluh tahun lalu saya mengunjungi Pulau Langkawi menggunakan feri dari jeti Kuala Perlis. Meskipun penerbangan dari LCCT ke Langkawi berlepas pukul 10.15 malam, lewat sejam dari jadual asal namun kelewatan tersebut tidaklah mengganggu perancangan percutian kerana penerbangan ke Langkawi hanya mengambil masa lebih kurang satu jam. Apatah lagi hotel penginapan iaitu Hotel Helang terletak beberapa meter sahaja dari Lapangan Terbang Langkawi. Cukup mudah untuk sampai ke hotel ini.

Langkawi adalah sebuah pulau yang sarat dengan misteri dan lagenda Mahsuri yang kini menjadi sejarah. Justeru, menjejaki Pulau Langkawi seakan tidak sempurna sekiranya tidak mengunjungi Kompleks Kota Mahsuri yang terletak di Ulu Melaka. Saya memulakan penjelajahan ke Kompleks Kota Mahsuri yang menempatkan Makam Mahsuri yang dilengkapi dengan muzium, panggung teater dan rumah tradisional Kedah selain sebuah perigi yang digelar sebagai Perigi Mahsuri. Di sini saya dapat menyingkap sejarah Mahsuri.

Kompleks Kota Mahsuri

Makam Mahsuri


Rumah Mahsuri

Panggung Diorama Mahsuri


Pengunjung tidak melepaskan peluang
merasai kesejekun air Telaga Mahsuri

Pengalaman merasai sendiri kesejukan air Telaga Mahsuri

Muzium Sejarah Mahsuri

Pusat kraftangan yang menjual pelbagai cendera mata

Mahsuri merupakan anak pasangan Pandak Mayah dan Mak Andam yang dilahirkan pada penghujung kurun ke-18 Masihi di Kampung Ulu Melaka. Kehidupan dan sejarah Mahsuri menjadi lagenda pulau tersebut yang sememangnya terkenal dengan kisah misterinya.

Kata-kata terakhir Mahsuri amat masyhur kerana menjadi sumpahan. Mahsuri bersumpah untuk tidak menghalalkan darahnya jatuh ke bumi kerana beliau mangsa fitnah dan mengutuk pulau Langkawi untuk tidak tenteram dan permai ibarat padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan.

Menurut lagenda, Mahsuri mengalirkan darah berwarna putih kerana kata-katanya yang tidak menghalalkan darahnya jatuh ke bumi. Deramang turut dibunuh kemudiannya. Mahsuri dikatakan meninggal pada tahun 1819 masihi bersamaan 1235 Hijrah. Seminggu selepas Mahsuri dibunuh, Wan Derus pulang setelah Kedah gagal menewaskan Siam. Selepas mengetahui akan hakikat tentang isterinya, dia kecewa lalu membawa anaknya, Wan Hakim keluar dari Langkawi. Sejurus itu, tentera Siam menyerang pulau tersebut. Langkawi hancur dan hangus.

Sebelum 1980-an, Langkawi memang tidak makmur hinggakan orang mengatakan yang kerbau lebih banyak berbanding manusia di sana. Menjelang 1980-an, Langkawi menjadi lebih makmur. Ada yang menyatakan kemakmuran itu disebabkan lahirnya keturunan ketujuh Mahsuri menamatkan segala sumpahan Mahsuri ke atas pulau Langkawi. Keturunan ketujuh Mahsuri iaitu Sirintra Yayee atau Nong May atau nama Melayunya, Wan Aishah binti Wan Nawawi menetap di pulau Phuket, ketika pertama kali dijejaki.

Kini, pulau yang kaya dengan keindahan semula jadi dan lagenda masa silam ini telah menampilkan diri sebagai salah satu daripada destinasi pelancongan yang paling popular di Malaysia.

Perjalanan diteruskan ke Beras Terbakar yang terletak di Padang Mat Sirat. Padang Beras Terbakar merujuk kepada satu tempat kejadian yang dikatakan berlaku sejurus selepas Mahsuri dihukum bunuh, pada 1821, Siam telah datang menjajah Pulau Langkawi.

Dato Karma Jaya telah mengumpulkan beras di Padang Mat Sirat sebagai persediaan menghadapi perperangan, dan apabila mendapati pihaknya tidak mampu mematahkan serangan tentera-tentera Siam, Dato Karma Jaya telah memerintahkan beras-beras tersebut dibakar bagi menghalang beras tersebut dirampas oleh pihak Siam.

Baki beras terbakar itu masih boleh didapati di kawasan Padang Mat Sirat, Kampung Raha. Pada suatu masa dahulu, ramai pelancong yang mengutip beras-beras tersebut. Oleh yang demikian, kawasan tersebut kini dipagar bagi menghalang baki beras terbakar yang semakin sedikit itu daripada habis dikutip para pelancong. Beras-beras tersebut dikatakan disimpan di bawah tanah sebelum dibakar. Bagaimanapun dikatakan bahawa beras terbakar tersebut akan terdedah pada hari hujan.

Di sini juga terdapat rumah melayu yang boleh dilawati. Berdekatan dengan kawasan ini terdapat gerai-gerai yang menjual pakaian, kain batik, kain pelikat, Minyak Gamat, Tongkat Ali, Kacip Fatimah dan lain-lain lagi. Pada setiap hari Ahad pasar malam akan beroperasi disekitar tempat ini.

Saki baki beras terbakar


Salah sebuah rumah Melayu yang mempunyai seni bina menarik

Saya seterusnya ke Pantai Cenang yang menjadi tumpuan pelancong yang meminati keindahan alam. Selain tarikan pantai yang memutih dan laut yang membiru, Pantai Cenang juga menjadi tumpuan kerana di sinilah Underwater World Langkawi yang menempatkan lebih 5000 jenis ikan serta lebih 500 spesies haiwan termasuk anjing laut, singa laut dan penguin. Uniknya di Underwater World saya dipertontonkan dengan pelbagai hidupan air dalam terowong bercermin sepanjang 15 meter dengan 800,000 liter air masin. Akuarium di Underwater World adalah antara yang terbesar di Asia, yang membuatkan saya terpegun dan berasa seolah-olah berada dalam laut. Underwater World dibuka setiap hari dari pukul 10.00 pagi hingga 6.00 petang dengan bayaran RM 28 seorang. Terdapat juga kompleks membeli-belah di sini yang menyediakan pelbagai barangan cendera mata untuk di bawa pulang.

Keindahan Pantai Cenang ketika matahari terbenam

Spesies Belut

Belut Zebra


Pelbagai spesies ikan

Hari kedua, pengembaraan diteruskan ke Oriental Village yang terdapat di kaki bukit Pergunungan Machincang untuk merasai sendiri keseronokan menaiki kereta kabel Langkawi. Malangnya ketika saya sampai lebih kurang pukul 10.30 pagi kereta kabel Langkawi ditutup kerana angin kencang. Saya difahamkan kereta kabel Langkawi biasanya ditutup sekiranya angin kencang atas faktor keselamatan dan kami dimaklumkan kereta kabel Langkawi akan dibuka semula sekiranya angin telah reda.

Pada mulanya agak kecewa juga kerana kemungkinan tidak berkesempatan menaiki kereta kabel. Tambahan pula tidak tahu sampai bila angin akan reda. Sambil menunggu angin reda dan kereta kabel dibuka semula saya mengambil peluang berjalan-jalan di sekitar Oriental Village yang merupakan salah satu pusat membeli-belah bebas cukai unik yang menghadap pemandangan Teluk Burau. Rekabentuk bangunannya yang eksklusif menampakkan ciri-ciri budaya setempat dan merupakan salah satu pusat beristirehat yang unggul. Landskap yang indah dan dilengkapi dengan kemudahan seperti hotel, surau, taman haiwan dan sebagainya.

Stesen permulaan Kereta Kabel Langkawi

Langkawi Goepark

Rusa yang terdapat dalam Taman Haiwan

Gajah pun ada. Ingin mencubanya? Kenalah bayar RM 80.

Akhirnya setelah angin reda lebih kurang pukul 12.30 tengah hari kami dimaklumkan bahawa kereta kabel dibuka semula. Syukur Alhamdulillah tercapai juga hajat untuk merasai pengalaman menaiki kereta kabel yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai kereta kabel tanpa tiang terpanjang di negara ini yang sememangnya mempunyai keistemewaan tersendiri. Projek kereta kabel ini adalah jaringan kereta kabel jenis gondola enam tempat duduk yang membabitkan jarak keseluruhan perjalanan sepanjang 2.2 kilometer dengan bayaran RM15 bagi dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak dan dibuka dari pukul 10.00 pagi hingga 6.00 petang. Ketika menaiki kereta kabel menuju puncak Gunung Machincang, perasaan saya berbaur antara seronok dapat menaiki kereta kabel dan menikmati pemandangan menakjubkan; dan perasaan takut dan seram apabila sesekali gondola bergoyang ditiup angin kencang.




Sepanjang perjalanan ke puncak Gunung Machincang, saya juga disajikan dengan panorama indah sekitar Pulau Langkawi sehingga ke perairan sekitarnya. Lebih istimewa, kereta kabel berkenaan mempunyai dua stesen sepanjang perjalanan yang memberi peluang kepada pelawat untuk singgah di pertengahan jalan atau meneruskan destinasi ke puncak Gunung Machincang. Perjalanan kira-kira 15 minit berakhir di stesen puncak Gunung Machincang. Ketika berada di puncak gunung, saya menghabiskan masa bersiar-siar di atas pelantar setinggi 710 meter dari aras laut, yang dibina khas untuk menyaksikan pemandangan lebih menyeluruh kawasan sekitar. Cukup mengujakan!

Keindahan Perairan Andaman

Gunung Matchincang


Pemandangan indah yang dirakam dari kereta kabel

Dari situ, saya dapat melihat Bandar Kuah, Gunung Raya, Taman Geoforest Kilim, Air Terjun Temurun, Taman Geoforest Dayang Bunting Marble dan Pantai Cenang. Walaupun hanya mengambil masa lima belas minit perjalanan ke puncak gunung tetapi pengalaman yang dinikmati amat mengasyikkan itu membuatkan saya leka dengan sajian keindahan dan kehijauan hutan banjaran Gunung Machinchang, gua-gua kecil serta air terjun Telaga Tujuh selain keindahan perairan Andaman yang terbentang luas. Di sinilah berlaku satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan apabila topi saya diterbangkan angin kencang dan tidak dapat diambil semula.

Dari ketinggian 710 meter


Jambatan Tergantung atau lebih terkenal sebagai ‘Hanging Bridge’ sepanjang 125 meter merupakan satu lagi ciptaan moden yang amat menarik. Saya berasa amat bertuah dapat berada di Gunung Machincang ini dan peluang ini tercapai melalui pembinaan jambatan moden dan kereta kabel ini. Bukan sahaja saya dapat melihat keindahan pergunungan dan hutan belantara khatulistiwa, namun saya dapat merasai kenyamanan udara yang memberikan suatu ketenangan hati dan jiwa kepada saya dan semua pengunjung. Sesekali timbul juga rasa gerun apabila jambatan ini bergoyang ditiup angin kencang.



Sudah tentu, pengalaman ini memberikan suatu pengalaman berbeza, baik ketika mendaki puncak gunung mahupun saat pulang semula ke Oriental Village. Selepas merasai sendiri pengalaman menaiki kereta kabel di Pulau Langkawi, suatu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, apatah lagi setelah disajikan dengan keindahan panorama yang cukup menakjubkan! Sungguh, adalah satu kerugian jika tidak mencubanya.

Dari Langkawi Kabel Car, saya seterusnya ke Pekan Kuah. Kalau ke Pekan Kuah sudah tentulah untuk membeli belah. Salah satu pusat membeli belah yang terkenal di sini ialah Haji Ismail Group yang menyediakan pelbagai barangan seperti pinggan mangkuk, kain batik, coklat dan sebagainya.

Salah sebuah pusat membeli-belah terkemuka di Pekan Kuah


Coklat sememangnya sinonim dengan pulau bebas cukai ini.

Pelbagai corak kain batik

Antara barangan lain yang ditawarkan

Set pinggan mangkuk

Tumpuan orang ramai membeli barangan untuk dibawa pulang

Destinasi terakhir saya ialah Dataran Helang yang merupakan mercu tanda Langkawi dan juga merupakan tugu tumpuan pelancong yang terkemuka di pulau ini. Dataran ini menempatkan patung helang setinggi 12 meter yang menggambarkan Lang yang bermaksud Helang yang akhirnya diangkat menjadi nama pulau Langkawi. Kedudukan patung Lang gergasi ini terletak bersebelahan dengan pelantar jeti Kuah, dengan sayap berkepak sedia untuk menyusur ke udara menjadikannya satu pemandangan yang mengkagumkan bagi para pelancong yang sedia untuk berlabuh di pulau ini. Pada waktu malam, seluruh dataran diterangi dengan lampu. Dari laut, panorama adalah menakjubkan. Suasana malam sungguh mengasyikkan dengan cahaya lampu daripada kapal yang berlabuh.



Jam menunjukkan pukul 8.30 malam dan saya bergegas kembali ke hotel. Saya seterusnya bergerak ke Lapangan Terbang Langkawi kerana penerbangan pulang ke Kuala Lumpur dijadual pada pukul 10.50 malam. Sebentar lagi Pulau lagenda ini akan ditinggalkan. Sesungguhnya percutian kali ini, walaupun singkat, tetapi melakar memori indah kerana impian menyingkap lagenda Mahsuri dan menikmati keindahan Langkawi menjadi kenyataan.

Friday, December 19, 2008

Langkawi Permata Kedah

Alhamdulillah aku telah selamat sampai di Langkawi setelah penerbangan tertangguh sejam. Penerbangan yang dijadual pukul 9.15 malam hanya berlepas kira-kira 10.15 malam. Penerbangan ke Langkawi mengambil masa sejam dan aku tiba di Lapangan Terbang Langkawi lebih kurang pukul 11.20 malam. Setelah mengambil bagasi aku terus "check in" di Hotel Helang yang telah ditempah beberapa bulan lalu. Hotel ini hanya terletak beberapa meter dari Lapangan Terbang Langkawi. Memang mudah untuk sampai ke hotel ini. Esok akan bermulalah penjelajahan aku di pulau ini yang menjanjikan pengalaman berbeza dengan keunikan dan keindahan pantai serta persekitarannya selain sejarah Mahsuri yang kini menjadi lagenda.

Bersedia menaiki pesawat Airasia lewat sejam dari jadual asal


Menjejak kaki di Lapangan Terbang Langkawi


Merakam kenangan sementara menunggu bagasi

Sunday, December 7, 2008

Salam Aidiladha - Korban Menguji Keimanan



Berderai jatuh titisan air mata keinsafan

Mengenang keagungan sejarah KORBAN

Ketabahan NABI IBRAHIM

dan keteguhan iman anaknya ISMAIL

Menerima perintah ALLAH

Menguji kekuatan IMAN

Erti sebuah PENGORBANAN

Salam AIDILADHA untuk semua

Semoga ibadat KORBAN

Mendapat KEBERKATAN Memperkuat KEIMANAN


10.30 pm, 07 Disember 2008

Kuala Pilah, Negeri Sembilan



Friday, December 5, 2008

Menjejak Tapak Warisan Dunia : Melaka Bandar Raya Bersejarah

Eko pelancongan, juadah istimewa, pusat membeli-belah dan keindahan alam sering menjadi tarikan berkunjung ke sesuatu lokasi. Namun, bagi bandar raya bersejarah tersohor Melaka, negeri ini menawarkan pakej percutian lengkap walaupun pernah mengalami zaman keruntuhan empayar Kesultanan Melayu Melaka.

Siapa tidak pernah mendengar zaman kegemilangan empayar Melaka suatu ketika dahulu dan penjajahan kuasa Eropah yang masing-masing ingin menguasai wilayah yang dianggap paling strategik ketika itu? Deretan bangunan zaman kolonial Portugis, Belanda, dan British serta tinggalan sejarah Zaman Kesultanan Melayu Melaka membuktikan segalanya, dan kini menggamit pengunjung termasuk pelancong asing menjejaki Melaka Bandar Raya Bersejarah yang telah diisytiharkan sebagai salah satu tapak warisan dunia.

Kunjungan saya ke Melaka Sabtu dan Ahad lepas menjanjikan pengalaman berbeza dengan keunikan tersendiri. Tentunya tinggalan sejarah empayar Kesultanan Melayu Melaka dan zaman penjajahan Portugis, Belanda, British dan Jepun amat mengujakan saya selain terpukau dengan keenakan juadah, serta keindahan bandar raya bersejarah ini dari menara Taming Sari.

Lagenda sakti Taming Sari, keris milik pahlawan terbilang ketika zaman kesultanan Melaka kini diabadikan dalam skala lebih besar, iaitu menara tinjau berputar setinggi 110 meter yang menjadi tarikan terbaru pelancong ke bandar raya bersejarah ini. Menjadi tarikan pelancong pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara, Menara Taming Sari dibina dengan kos kira-kira RM 23 juta dengan mengambil model The Super Gyro Tower 1200 dari Switzerland, ciri unik yang hanya terdapat di enam lokasi di seluruh dunia.

Menara Taming Sari mempunyai kabin unik yang boleh memuatkan 80 orang pada satu-satu masa, dengan bayaran RM 10 seorang. Setiap perjalanan naik dan turun mengambil masa kira-kira tujuh minit. Kabin akan berhenti pada ketinggian 80 meter, sebelum berputar dengan putaran 360 darjah. Dari kabin pada ketinggian 80 meter ini, saya dapat menyaksikan keindahan Bandar Raya Bersejarah Melaka pada waktu malam yang disinari dengan cahaya lampu berwarna-warni. Satu pengalaman yang belum pernah saya alami. Sungguh mengujakan.

Dalam kabin Menara Taming Sari dan bersedia untuk naik ke atas

Pemandangan indah Dataran Pahlawan dari Menara Taming Sari

Kelihatan Eyes On Malaysia

Lampu warna-warni menyimbahi malam bandar raya Melaka

Kenderaan penuh sesak membanjiri bandar raya Melaka

Kembara ke Melaka amat menarik kerana saya boleh melihat pelbagai kesan tinggalan sejarah Eropah, Jepun, Cina, India dan Melayu. Tidak lengkap kunjungan saya jika tidak merakamkan kenangan di kota bersejarah A Famosa, bangunan merah Stadhuys yang menjadi antara ikon bandar raya. Bukit St Paul di puncak bukit di kota ini menjadi saksi kemaraan kuasa asing yang pernah menawan Melaka. Kawasan lama di sekitar Gereja Christ Church, peninggalan bangunan St Paul, bangunan Stadthuys dan Porto de Santiago semuanya terletak berhampiran di antara satu sama lain dan bangunan-bangunan yang berwarna kemerahan di sini menjadikannnya kelihatan berbeza. Kawasan berdekatan pintu gerbang kota A Famosa ini juga menempatkan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan dan Muzium Maritim.

Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan


Bangunan St. Paul


Bangunan Stadtyhus yang kini menjadi Muzium Sejarah Melaka


Air pancut yang dibina semasa zaman penjajahan Belanda


Monumen Laksamana Cheng Ho

Antara tinggalan sejarah yang kini menjadi tatapan pengunjung

Pinggan mangkuk yang pernah digunakan oleh Laksamana Cheng Ho suatu ketika dahulu

Koleksi meriam yamg digunakan ketika zaman penjajahan Eropah di Melaka

Antara sudu dan mangkuk yang digunakan ketika zaman penjajahan Belanda

Antara mata wang yang digunakan semasa zaman penjajahan Eropah di Melaka


Kapal yang dijadikan Muzium Maritim

Di sekitar kawasan ini terdapat banyak perkhidmatan beca yang dihiasi dengan perhiasan bunga-bungaan, beraneka warna malah ada juga yang memasang lagu untuk menarik pelanggan. Dengan sikap ramah dan pengetahuan mereka yang mendalam mengenai bandar raya bersejarah ini, mana mungkin untuk saya tidak mencubanya. Lantas saya mengambil beca dan pengayuh beca iaitu Encik Rahman membawa saya ke sekitar bandar lama yang mempunyai pelbagai tinggalan sejarah. Saya dibawa mengunjungi Makam Hang Jebat seorang daripada pahlawan empayar Melayu Melaka pada zaman pemerintahan Sultan Mansor Shah yang akhirnya mati dibunuh oleh Hang Tuah kerana dianggap menderhaka kepada sultan.

Tidak melepaskan peluang menaiki beca

Makam Hang Jebat

Sambil menyusuri jalan-jalan sempit, saya mengamati dan mengagumi reka bentuk seni bina pelbagai gaya yang mencerminkan budaya masyarakat berbilang kaum di sini. Melaka pada zaman kegemilangannya merupakan sebuah pelabuhan strategik yang banyak menerima pengaruh Portugis, Belanda, Inggeris serta pengaruh penduduk tempatan yang terdiri dari pelbagai bangsa seperti Melayu, Cina dan India. Hal ini terbukti apabila kami menyusuri Harmoni Street yang menempatkan kuil India, Masjid Kampung Kling dan Kuil Cheng Hoon Teng yang terletak tidak jauh antara satu sama lain. Masjid Kampung Kling merupakan antara masjid tertua yang dibina pada 1748 dengan ciri-ciri binaan yang unik menggabungkan seni bina Sumatera, China dan Melayu Melaka. Kuil Cheng Hoon Teng pula merupakan kuil tertua di negara ini yang dibina pada 1673 sejak orang-orang Cina mula bermastautin di Melaka.

Sekitar bandar lama Melaka

Salah satu bangunan yang mempunyai kepelbagaian pengaruh reka bentuk dan seni bina

Masjid Kampung Kling yang dibina pada tahun 1748

Kuil Cheng Hoon Teng yang dibina pada tahun 1673

Menyusuri jalan-jalan sempit, saya seterusnya ke Kampung Ketek sebuah perkampungan Melayu yang merupakan tempat kelahiran Bapa Kesusasteraan Melayu Moden iaitu Abdullah Munsyi. Di kampung ini juga terdapat makam Syamsudin Al-Sumatarani seorang ulamak, sasterawan dan pahlawan Acheh pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda.

Kampung Ketek satu-satunya perkampungan Melayu yang masih wujud
di bandar lama Melaka yang kini didominasi oleh Kaum Cina

Rumah Bapa Kesusteraan Melayu Moden, Abdullah Munsyi yang kini menjadi tinggalan sejarah

Makam Syamsudin Al-Sumatarani, seorang ulamak yang berasal dari Acheh

Seterusnya saya dibawa ke satu-satunya kedai yang masih menjual “Bound Feet Shous” iaitu kasut kecil berukuran 3 inci yang melambangkan kecantikan bagi masyarakat Cina suatu ketika dahulu. Melihatkan kasut sebesar itu, saya terfikir bagaimana mereka menggunakan kasut sebesar itu khususnya bagi gadis-gadis cina suatu ketika dulu untuk mencapai taraf kecantikan dari perspektif masyarakat ketika itu.

"Bound Feet Shoes" yang asal

Sepasang "Bound Feet Shoes" yang melambangkan kecantikan wanita Cina suatu ketika dahulu

Saiz "Bound Feet Shoes" yang tidak sampai pun satu telapak tangan.
Bayangkan jika anda memakainya...

Saya kemudiannya ke Makam Hang Kasturi salah seorang pahlawan Melayu zaman pemerintahan Sultan Mansor Shah dan seterusnya menyusuri jalan sempit menuju ke sebuah bangunan yang dahulunya dimiliki oleh Che Yam Tuan. Kini bangunan tersebut dimiliki oleh keluarga Tan Cheng Lock. Mengamati reka bentuk dan seni bina bangunan tersebut lantas mengundang kekaguman saya.


Makam Hang Kasturi

Bangunan CYT yang kini menjadi milik keluarga Tan Cheng Lock

Terletak di hadapan ialah Hotel Puri yang menarik. Asalnya Hotel Puri dikenali sebagai House of Tan Kim Seng. Bangunan Hotel Puri kelihatan seperti sebuah rumah kedai Cina yang lama dari luar tetapi di dalamnya mempunyai bilik-bilik dengan gaya hiasan yang anggun dan seni bina berbeza. Ianya mempunyai sebuah halaman dalam yang terbuka dengan landskap yang menarik dan digunakan sebagai tempat berehat. Yang menariknya hotel ini mempunyai sebuah perigi lama yang masih digunakan sehingga hari ini.

Hotel Puri dari luar

Seni bina yang menarik dalam Hotel Puri



Sebahagian tinggalan sejarah kaum Cina yang telah berusia beratus-ratus tahun

Perigi lama yang masih membekalkan sumber air kepada Hotel Puri

Ingin menyusuri Sungai Melaka dengan “Melaka River Cruise”, Encik Rahman membawa saya ke jeti berhampiran. Setelah bersalaman dan mengucapkan terima kasih kepada Encik Rahman pengayuh beca yang sekaligus menjadi pemandu pelancong, saya menaiki "Melaka River Cruise” dengan bayaran RM 10 seorang. Menyusuri Sungai Melaka selama lebih kurang 40 minit memberikan satu pengalaman yang berlainan kerana saya dapat melihat panorama sekitarnya. Antara yang menarik perhatian saya ialah sebuah perkampungan Melayu yang mempunyai seni bina dan hiasan menarik. Eyes on Malaysia juga nampak jelas apabila menyusuri Sungai Melaka dengan "Melaka River Cruise".

Bersama Encik Rahman, pengayuh beca yang banyak memberikan informasi kepada saya

Pelancong-pelancong asing duduk bersantai menikmati
makanan dan minuman di sepanjang Sungai Melaka

Perkampungan Melayu di sepanjang Sungai Melaka
yang mempunyai reka bentuk dan hiasan menarik

Kelihatan Eyes On Malaysia yang dibina di tepi Sungai Melaka

Selesai pengembaraan menggunakan "Melaka River Cruise" saya kemudiannya memasuki pusat membeli- belah Dataran Pahlawan. Jika ingin mendapatkan cendera mata atau barangan sebagai kenang-kenangan, terdapat banyak pusat kraftangan di pusat membeli belah ini yang menyediakan pelbagai jenis barangan cendera mata.


Dataran Pahlawan, pusat membeli-belah yang terdapat berhampiran A-Famosa

Matahari kian terbenam dan senja mulai menjelang. Sebentar lagi malam akan tiba. Bermakna saya akan meninggalkan bandar raya bersejarah ini. Begitu cepat masa berlalu. Dua hari seakan tidak mencukupi untuk menjejaki semua tempat menarik di bandar raya bersejarah ini. Ketika malam melabuhkan tirainya saya meninggalkan Melaka Bandar Raya Bersejarah dengan pelbagai pengetahuan dan pengalaman baru - suatu kenangan manis.

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template