Wednesday, November 26, 2008

Batu Pahat Johor

Musim hujan yang biasanya turun pada waktu petang dan berlarutan ke malam hari ketika ini agak membataskan juga pergerakan saya untuk keluar meronda-ronda sekitar bandar Batu Pahat. Bagaimanapun, Siang tadi saya berkesempatan meronda-ronda bandar Batu Pahat sambil mengambil peluang menyelesaikan urusan bank. Sempat juga berjalan-jalan di Dataran Penggaram melihat mercu tanda bandar ini dan dapat menambah pengetahuan sejarah mengenai Bandar ini.

Mengikut sejarah, Bandar Batu Pahat asalnya adalah Bandar Penggaram yang dibuka oleh Dato Bentara Luar pada 2 Disember 1893. Maksudnya bandar ini sudah 115 tahun dibuka. Itulah sebabnya terdapat banyak bangunan lama di bandar ini yang mempunyai reka bentuk kolonial yang bagi saya agak menarik. Seiring dengan peredaran masa, bandar ini membangun dengan pesat dan kini merupakan antara bandar kedua terbesar selepas bandaraya Johor Bharu. Antara pusat membeli-belah yang boleh dikunjungi ialah BP Mall dan The Summit. Untuk menikmati panorama bandar Batu Pahat, bolehlah berjalan kaki di "BP Walk" dan kalau penat berjalan bolehlah singgah di gerai-gerai makanan dan minuman yang terdapat di sepanjang "BP Walk".

Penat berjalan, saya singgah mengisi perut yang lapar. Antara hidangan istimewa ialah asam pedas, dan secara peribadi ikan merah asam pedas yang saya makan tadi memang sedap. Ketika saya berurusan di salah sebuah bank di bandar ini, saya telah ditakdirkan bertemu dengan seorang rakan seuniversiti yang telah lapan tahun saya tidak temui. Kebetulan dia juga sedang berurusan di bank tersebut. Beliau kini bertugas di Universiti Tun Hussien Onn Batu Pahat. Lama tidak bertemu, bermacam cerita yang dibualkan. Dalam hati saya berkata, dalam hidup kita selalu berhadapan dengan suatu kebetulan dan suatu kebetulan adalah ketentuan takdir.

Bangunan Majlis Perbandaran Batu Pahat yang mempunyai reka bentuk kolonial

Wisma Sejarah Batu Pahat yang dibina pada tahun 1913

Central Point Dataran Penggaram

Mercu Tanda Bandar Batu Pahat di Dataran Penggaram

Sekitar BP Walk

1 comments:

tunbegia said...

tB pun baru sampai bandar batu pahat itu.. ehehe, salamm

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template