Thursday, May 22, 2008

Sukaneka Hari Guru






Petang tadi sukaneka sempena Sambutan Hari Guru peringkat sekolah aku telah diadakan. Pelbagai acara telah diadakan seperti lari ikat kaki, membawa telur menggunakan sudu, mengisi air dalam botol menggunakan span, lempar belon berisi dan sebagainya. Turut diadakan perlawanan bola sepak di antara guru-guru sesi pagi dan sesi petang. Sukaneka tersebut berjalan dengan penuh meriah dan menyeronokkan. Lebih menyeronokkan apabila kumpulan kami telah memenangi acara lari ikat kaki dan membawa telur menggunakan sudu.

Bagaimanapun kami guru-guru sesi pagi telah tewas kepada guru-guru sesi petang dalam perlawanan bola sepak dengan jaringan 2-4. kemeriahan dan kepuasan terpancar di wajah setiap guru yang telah menjayakan sukaneka tersebut. Majlis diakhiri dengan upacara penyampaian hadiah kepada semua pemenang yang disempurnakan oleh Tuan Pengetua. Tahniah kepada semua guru dan pelajar-pelajar yang telah menjayakan majlis ini. Sesungguhnya acara sebegini dapat mengeratkan lagi hubungan guru-guru dan juga pelajar-pelajar. Esok akan diadakan kemuncak Sambutan Hari Guru peringkat sekolah aku.

Sunday, May 18, 2008

Kursus Skema Pemarkahan dan Bengkel Memeriksa Kertas Bahasa Melayu SPM



Semalam 17 Mei 2008 aku menghadiri kursus Skema Pemarkahan dan Bengkel Memeriksa Kertas Bahasa Melayu SPM Peringkat Gabungan Tawau. Kursus tersebut telah diadakan di Bilik Gerakan SMK Tawau (bekas sekolah aku dari ting 4 hingga ting 6). Kursus sehari dari pukul 8.00 pagi hingga 4.30 petang banyak juga memberi input berguna untuk aku. Selain dapat berkursus dapat juga berkenal-kenalan dengan cikgu-cikgu dari sekolah lain dan saling bertukar-tukar maklumat dan pandangan. lmu dan maklumat yang diperolehi ini boleh digunakan kelak untuk membantu pelaja-pelajarku khususnya untuk meningkatkan prestasi dalam subjek ini.

Friday, May 16, 2008

Selamat Hari Guru


16 Mei tiba lagi. Tarikh keramat buat semua insan bergelar cikgu. Hari Guru yang menunjukkan betapa istimewanya insan bergelar cikgu. 16 Mei tahun 2008, bermakna sudah lima kali aku turut sama meraikan Hari Guru sebagai seorang cikgu. Maknanya sudah lima tahun jugalah aku menjadi cikgu. Terasa cepat masa berlalu. Dalam tempoh lima tahun ini banyak juga pengalaman yang telah kulalui. Suka duka dan pahit manis insan bergelar cikgu semuanya telah kulalui.

Pada aku, pengalaman sepanjang lima tahun yang kulalui banyak mematangkan aku sebagai seorang guru dan yang lebih besar maknanya memanusiakan diriku dan memanusiakan pelajar-pelajarku. Apatah lagi aku pernah melalui pengalaman berharga mengajar di SMK Wallace Bay sebuah sekolah pedalaman di Tawau Sabah. Banyak juga perkara yang aku pelajari khususnya dalam pembinaan jati diriku. Erti kesukaran, erti kepayahan dan erti kesabaran serta ketabahan semuanya dituntut. Dalam erti kata lain menjadi guru banyak menyedarkan aku erti pengorbanan.

Aku mula menyedari begitu jugalah yang dilalui oleh cikgu-cikguku dulu semasa aku di bangku sekolah. Betapa mereka banyak berkorban semata-mata untuk melihat kejayaan anak-anak didiknya termasuklah aku. Bagiku tanpa mereka aku tidak akan menjadi cikgu seperti mereka. Terima kasih cikgu. Kepada semua cikgu di Malaysia, Selamat Hari Guru. ''Guru Cemerlang Negara Terbilang"

Wednesday, May 14, 2008

Peperiksaan ohh peperiksaan...


Minggu peperiksaan. Saya pasti minggu ini kebanyakan sekolah sedang mengadakan peperiksaan semester 1. Begitu juga dengan sekolah saya yang sedang mengadakan peperiksaan bermula 7 Jun 2008 dan dijangka berakhir 22 jun 2008. Para pelajar sudah tentu sedang sibuk mentelaah pelajaran masing-masing. Apapun cikgu ucapkan selamat menempuh peperiksaan. Semoga berjaya. Amin..

Tuesday, May 6, 2008

Sekolah Baru


Terminal baru. Itulah yang dapat kusimpulkan. Aku lantas teringat kata-kata sasterawan negara Othman Puteh dalam novelnya Terminal Tiga. Dalam hidup kita perlu berhijrah dan mencari terminal baru. Seperti Rimpa remaja miskin namun punyai semangat dan keinginan kuat untuk keluar dari kampungnya di pedalaman Sabah untuk mengejar cita-cita di Akademi Seni Kebangsaan.

Namun penghijrahanku tidak sama seperti Rimpa. Penghijrahanku ke terminal baru untuk menimba lebih banyak ilmu dan pengalaman bagi mematangkan lagi perjalanan hidupku sebagai seorang cikgu. Setelah 4 tahun bertugas di SMK Wallace Bay aku akhirnya bertukar tempat bertugas. SMK Balung bukanlah nama yang asing bagiku. 17 tahun lalu sekolah ini amat sinonim denganku. Lantas aku teringat beberapa orang guru yang mengajarku. Cikgu Lim, Cikgu Abdullah, Cikgu Shukri, Cikgu Sabarudin, Cikgu Mad Jeli merupakan antara cikgu yang masih kuingati .

Setelah 17 tahun meninggalkan sekolah ini akhirnya siapa sangka aku bertugas di sini. Apakah ini satu kebetulan? Namun aku percaya inilah yang dikatakan suratan takdir. Allah telah menentutakdirkan aku menjadi cikgu di sekolah aku pernah belajar. Sekolah ini adalah bekas sekolahku ketika menengah rendah. Aku bersekolah di sini dari tahun 1989 hingglah tahun 1991 sehingga tingkatan tiga kerana aku kemudiannya berpindah ke SMK Tawau di Tingkatan 4.

Namun kini sekolah ini sudah jauh berbeza. Dari sekolah menumpang kini berubah dari segi fizikal, kemudahan, dan aliran. Sekolah ini sudah banyak mengukir kejayaan dan menjadi antara sekolah ternama di Tawau dan negeri Sabah bahkan beberapa aktiviti kokurikulumnya sampai sehingga ke peringkat kebangsaan. Namun cikgu-cikgu yang kusebutkan tadi semuanya sudah berpindah dan aku sendiri sehingga kini tidak tahu di manakah mereka mengajar. Jika berpeluang ingin sekali aku menemui mereka atau setidak-tidaknya mengetahui di mana mereka mengajar kini. Hanya tinggal seorang sahaja merupakan bekas cikguku yang masih menabur bakti di sini. Cikgu Sofyan yang pernah menjadi guru kelasku dan mengajar aku pendidikan seni. Semoga aku menjadi guru yang dedikasi di sini.

wajah-wajah pelajarku....






Mereka ini antara wajah-wajah pelajarku yang sempat kukongsikan. Meskipun kehidupan mereka serba kekurangan dan berada di dunia yang terasing dan tertutup nun jauh di pedalaman, namun mereka punya kelebihan. Nilai kemanusiaan mereka begitu tinggi dan amat menghormati guru. Dijemput makan di rumah dan menghantar makanan atau buah-buahan dan sayur-sayuran membuatkan aku sentiasa terkenangkan mereka. Sekalipun sebahagian besarnya miskin harta benda namun mereka kaya dengan hati budi. Semoga mereka punyai semangat dan kekuatan seperti Rimpa dalam Novel Terminal Tiga. Kemiskinan bukan penghalang untuk berjaya. Yang penting keinginan dan kemahuan yang tidak pudar dengan cabaran dan halangan. Semoga satu hari nanti mereka berjaya dalam pelajaran dan menjadi agen perubahan kepada kehidupan mereka dan keluarga mereka.

Monday, May 5, 2008

Cikgu-cikgu








Mereka inilah antara cikgu-cikgu yang berkhidmat nun jauh di pedalaman. Kebersamaan menempuh Kesukaran dan kekurangan di pulau menjadikan hubungan kami amat akrab. Bagaikan adik beradik dalam sebuah keluarga. Sekalipun datang dari tempat dan latar belakang yang berbeza namun matlamatnya cuma satu. Mendidik anak bangsa nun jauh di pedalaman sehingga berjaya.

Sunday, May 4, 2008

Panorama Kampung






Sekolahku terletak di tengah-tengah antara Kampung Mentadak dan Kampung Wallace Bay. Untuk sampai ke pulau ini kapal kayu seperti dalam gambar di atas merupakan pengangkutan utama. Pada waktu pagi ketika matahari terbit dan pada waktu petang ketika matahari terbenam merupakan pemandangan indah yang sentiasa menggamit aku untuk kembali ke sini. Inilah antara panorama sekitar kampung bekas sekolah aku mengajar.

Friday, May 2, 2008

Sekolah pertama aku bergelar cikgu






Aku masih teringat kali pertama aku melapor diri di sekolah ini pada tahun 2004. Beberapa hari sebelum sesi persekolahan 2004 aku telah datang ke sekolah ini. Walaupun aku merupakan orang Tawau, namun terus terang aku katakan bahawa aku tidak pernah menjejakkan kaki ke pulau ini. Oleh itu, pengetahuan aku mengenai pulau ini amat terbatas. Di jeti Tawau untuk masuk ke pulau ini pun aku hampir-hampir tertinggal. Mujurlah aku sempat naik ke kapal kayu setelah dimaklumkan oleh beberapa orang di jeti tersebut. Sebaik aku melangkahkan kaki ke kapal kayu tersebut kapal kayu itupun bergerak meninggalkan jeti Tawau membawa aku dan penumpang-penumpang yang aku pasti merupakan penduduk di pulau tersebut menuju ke destinasi.

Pada awal perjalanan aku hanya mendiamkan diri kerana tiada orang yang kukenali dalam kapal kayu tersebut. Apabila petugas pemungut tambang kapal kayu tersebut memulakan tugasnya dan sampai kepadaku aku bertanya kepadanya di mana aku sepatutnya turun untuk pergi ke SMK Wallace Bay. Dia memaklumkan, aku perlu turun di jeti Kampung Mentadak. Setelah mengharungi perjalanan selama satu jam setengah aku sampai di jeti Kampung Mentadak. Melalui seorang pakcik, aku diberitahu bahawa untuk sampai ke sekolah aku perlu berjalan kaki lagi. Melalui petunjuk yang diberikan aku melangkahkan kaki menuju sekolah. Pada anggaran aku hampir satu kilometer dari jeti untuk sampai ke sekolah.

Sesampainya aku di sekolah orang pertama yang kutemui ialah abang Darmansah iaitu PRA sekolah yang kebetulan ada di hadapan pintu masuk sekolah. Dia telah membawa aku ke sebuah pondok yang didirikan di bawah pokok ketapang. Di situ kulihat ada dua orang wanita sedang duduk berbual. Setibanya aku di pondok tersebut aku diperkenalkan dengan kedua-dua orang wanita tersebut. Seorang bernama Cikgu Faridah dan seorang lagi Puan Aminah kerani sekolah. Cikgu Faridah merupakan Penolong Kanan 1 pada masa itu. Beliau memaklumkan bahawa aku perlu melaporkan diri pada 2 Januari.

Setelah berbual dan mengetahui sedikit sebanyak mengenai sekolah tersebut aku memaklumkan bahawa aku hendak pulang ke Tawau. Ketiga-tiga mereka tertawa. Aku masih tidak faham. Rupanya mereka bertiga mentertawakan aku apabila aku beritahu aku hendak pulang ke Tawau. Mereka memberitahu aku bahawa kapal kayu yang membawa penumpang keluar masuk dari pulau ke Tawau hanya sekali sehari. Pukul 7.00 pagi kapal kayu penumpang akan keluar dari pulau ke Tawau dan pukul 11.30 kapal yang sama akan masuk semula ke pulau dari Tawau. Aku terkejut kerana aku menyangkakan tentulah banyak bot berulang alik masuk ke pulau ini sehari. Rupanya tidak.

Mereka menyuruh aku tidur sahaja di "rest house" sekolah malam ini dan pulang ke Tawau keesokan harinya. Malangnya aku datang sehelai sepinggang. Mana mungkin untuk aku bermalam. Aku bertanya sama ada aku masih mempunyai alternatif untuk kembali ke Tawau. Mereka memaklumkan aku boleh menunggu di jeti. Kalau bernasib baik mungkin ada bot atau kapal kayu persendirian yang kebetulan keluar ke Tawau. Aku memilih untuk menunggu di jeti. Mana tahu aku bernasib baik dan akan ada bot persendirian yang keluar ke Tawau. Jika tiada, aku akan kembali ke "rest house" dan aku terpaksa bermalam. Setidak-tidaknya pilihan sebegini memberikan aku kepuasan.

Abang Darmansah menghantar aku ke jeti dan kemudian meninggalkan aku di situ. Ada beberapa orang di situ. Pada awalnya aku hanya mendiamkan diri. Kemudian aku memulakan perbualan dan bertanya orang-orang di situ apakah akan ada bot yang akan lalu di jeti itu untuk keluar ke Tawau. Salah seorang pemuda yang akhirnya kukenali sebagai Rudy memberitahu aku kalau bernasib baik adalah bot yang lalu. Sejam berlalu, dua jam, tiga jam belum ada tanda-tanda aku akan dapat keluar ke Tawau. Namun aku kuatkan semangat untuk terus menunggu sehingga lebih kurang pukul 4.3o petang sebuah bot kebetulan lalu di situ dan singgah di jeti.

Aku memang bernasib baik kerana bot itu sememangnya menuju keluar ke Tawau. Bot itu merupakan bot kepunyaan seorang kontraktor Cina yang sedang memasang tangki di bangunan baru Sekolah Rendah Wallace Bay. Aku benar-benar merasa lega. Bayangkan aku menunggu di jeti itu dari tengahari sehingga pukul 4.30 petang. Satu penantian yang panjang. Benar-benar menyiksakan. Dalam perjalanan menuju ke Tawau ombak kian bergelombang menyebabkan bot yang kunaiki terumbang ambing dipukul ombak.

Aku dimaklumkan oleh pemandu bot itu pada waktu petang ombak akan pasang dan bergelombang. Cuak juga aku kerana ini merupakan pengalaman pertama aku melalui pengalaman sebegini apatah lagi melihat kapal yang kunaiki terumbang ambing dipukul ombak dan sekali-sekala air laut masuk ke dalam bot. Aku hanya berdoa agar kami sampai dengan selamat. Hampir sejam berlalu akhirnya kami sampai di Tawau dan aku bersyukur kerana sampai dengan selamat. Pengalaman ini merupakan pengalaman yang tidak akan pernah aku lupakan dan padaku merupakan satu pengalaman yang sangat berharga. Bukan semua orang berpeluang melaluinya. Aku adalah antara orang yang ditentutakdirkan melaluinya. Inilah antara panorama sekolah Menengah Kebangsaan Wallace Bay tempat aku bertugas dulu. Sekalipun berada di pulau namun panoramanya indah.

Aku Seorang cikgu

Cikgu. Perjalanan hidupku telah ditentutakdirkan menjadi seorang cikgu. Aku bangga menjadi cikgu. Setidak-tidaknya aku dapat menyumbang sesuatu yang bermakna kepada anak bangsaku. Pengalaman mengajar di SMK Wallace Bay sebuah sekolah pedalaman yang terletak di Pulau Sebatik Tawau selama 4 tahun dari tahun 2004 - 2007 banyak mematangkan diriku sebagai cikgu. Kekurangan kemudahan dan kesukaran hidup mengajar aku erti kesabaran, ketabahan dan kecekalan. Sesungguhnya segalanya menuntut pengorbanan. Melihatkan pelajar-pelajar yang hidup daif dan serba kekurangan banyak menyedarkan aku betapa aku harus mensyukuri segala kurniaan Allah kepadaku. Pengalaman itu jualah memberi kekuatan kepadaku untuk menggalas tugas sebagai cikgu dengan penuh dedikasi. Harapanku cuma satu, semoga anak-anak muridku berjaya dalam pelajaran dan dapat mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template