Thursday, November 6, 2008

Jawapan Novel bagi zon Sabah, Sarawak, Pahang dan Terengganu (Novel Terminal Tiga dan Seteguh Karang)

a) Huraikan dua nilai tanggungjawab yang terdapat dalam novel yang anda kaji.

Terminal Tiga

Novel yang saya kaji ialah novel Terminal Tiga. Antara nilai tanggungjawab yang terdapat dalam novel ini ialah tanggungjawab terhadap keluarga. Rimpa merupakan anak yang bertanggungjawab. Contohnya Rimpa sanggup pergi ke Nabawan untuk mencari ayahnya yang diberitakan berada di sana.

Selain itu, tanggungjawab terhadap pelajaran juga terdapat dalam novel Terminal Tiga. Rimpa merupakan seorang yang bertanggungjawab terhadap pelajaran. Contohnya Rimpa sanggup menghadapi pelbagai cabaran semata-mata untuk melanjutkan pelajarannya di Akademi Seni Kebangsaan. Walaupun hidup miskin dan serba kekurangan namun hal itu tidak menjadi penghalang kepada Rimpa untuk meneruskan pelajarannya di Akademi Seni Kebangsaan.


Seteguh Karang
Novel yang saya kaji ialah novel Seteguh Karang. Antara nilai tanggungjawab yang terdapat dalam novel ini ialah tanggungjawab terhadap keluarga. Awanis seorang yang bertanggungjawab terhadap keluarga. Contohnya Awanis amat mengambil berat dan menyayangi adik angkatnya iaitu Anita. Dia sanggup membantu Anita mencari keluarga kandungnya.

Selain itu terdapat juga nilai tanggungjawab terhadap pelajaran dalam novel ini. Awanis seorang yang bertanggungjawab terhadap pelajarannya. Contohnya Awanis sanggup mengambil semula peperiksaan SPM walaupun gagal kali pertama dan seterusnya berjaya melanjutkan pelajarannya ke UiTM.

b) Berdasarkan dua novel yang anda pelajari, bandingkan satu latar masyarakat yang terdapat dalam setiap novel itu.

Novel yang saya kaji ialah novel Terminal Tiga dan Seteguh Karang. Persamaan latar masyarakat dalam kedua-dua novel ini ialah masyarakat yang mementingkan pelajaran. Rimpa dan Awanis amat mementingkan pelajarannya. Dalam Novel Terminal Tiga, Rimpa meneruskan pelajaran di Akademi Seni Kebangsaan walaupun berdepan dengan kemiskinan. Dalam novel Seteguh Karang pula, Awanis mengambil semula SPM setelah gagal kali pertama dan berjaya meneruskan pelajarannya di UiTM.

Perbezaan latar masyarakatnya pula ialah dalam novel Terminal Tiga terdapat gambaran masyarakat pedalaman Sabah. Dalam novel ini masyarakat pedalaman Sabah digambarkan masih dibelenggu dengan kemiskinan dan mengamalkan cara hidup tradisi. Contohnya keluarga Rimpa hidup miskin dan mengamalkan cara hidup sara diri dengan bekerja sebagai petani.

Dalam novel Seteguh Karang pula latar masyaraktnya ialah masyarakat bandar. Dalam novel ini digambarkan masyarakat bandar yang hidup moden dan berada. Contohnya keluarga Awanis yang tinggal di bandar raya Ipoh merupakan keluarga berada kerana ayahnya memiliki syarikat pembinaan.

c) Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, bandingkan satu nilai kerjasama yang terdapat dalam setiap novel tersebut.

Novel yang saya kaji ialah novel Terminal Tiga dan Seteguh Karang.

Satu nilai kerjasama yang terdapat dalam novel Terminal Tiga ialah bekerjasama menjayakan bengkel penulisan. Contohnya bang Maily dan Rimpa bekerjasama menjayakan persembahan pada malam penutupan bengkel penulisan yang diadakan di Kundasang.

Satu nilai kerjasama yang terdapat dalam novel Seteguh Karang ialah bekerjasama mencari keluarga kandung Anita. Contohnya Awanis membantu Anita mencari keluarga kandungnya.

d) Jelaskan dua mesej yang terdapat dalam novel yang anda kaji.

Terminal Tiga
Antara mesej yang terdapat dalam novel Terminal Tiga ialah kita hendaklah saling kasih mengasihi antara satu sama lain. Contohnya Rimpa mengasihi keluarganya dan sanggup pergi ke Nabawan mencari ayahnya yang telah 10 tahun meninggalkan mereka.

Selain itu kita juga seharusnya tabah dalam mengharungi dugaan hidup. Contohnya Rimpa sentiasa tabah menghadapi segala cabaran seperti kemiskinan hidup dan tidak melemahkan semangatnya untuk terus menimba ilmu.

Seteguh Karang
Antara mesej yang terdapat dalam novel Seteguh Karang, kita seharusnya memiliki keberanian dalam perkara yang mendatangkan kebaikan kepada kita. Contohnya Awanis berani menghadapi cabaran yang diberikan oleh Encik Johari menunggang motosikal buruk yang rosak breknya dan menjatuhkan setandan buah kelapa sawit semasa menjalani praktikal di Hulu Paka Terengganu.

Kita juga mestilah mempuyai kegigihan untuk mencapai cita-cita. Contohnya Awanis gigih menuntut ilmu sehingga ke menara gading meskipun pernah gagal pertama kali mengambil SPM

e)Berdasarkan dua novel yang anda pelajari, bandingkan persoalan kasih sayang yang terdapat dalam setiap novel tersebut.

Novel yang saya kaji ialah novel Terminal Tiga dan Seteguh Karang.

Antara persoalan kasih sayang yang terdapat dalam Novel Terminal Tiga ialah kasih sayang seorang anak terhadap ayahnya. Rimpa menyayangi ayahnya meskipun ayahnya telah 10 tahun meninggalkan mereka. Contohnya Rimpa sanggup pergi ke Nabawan untuk mencari ayahnya yang diberitakan berada di sana.

Dalam novel Seteguh Karang antara persoalan kasih sayang ialah kasih sayang seorang kakak terhadap adik angkatnya. Awanis sangat menyayangi adik angkatnya iaitu Anita yang dibela oleh kedua ibu bapanya sejak kecil lagi. Contohnya Awanis sanggup membantu Anita mencari ibu bapa kandungnya.

f)Berdasarkan dua novel yang anda pelajari, bandingkan nilai kebijaksanaan yang dimiliki oleh watak utama.

Novel yang saya kaji ialah novel Terminal Tiga dan Seteguh Karang

Antara nilai kebijaksanaan watak utama yang terdapat dalam novel Terminal Tiga ialah kebijaksanaan Rimpa dalam pelajaran. Contohnya meskipun berasal dari pedalaman namun atas kebijaksanaannya dalam bidang penulisan Rimpa berjaya melanjutkan pelajarannya ke Akademi Seni Kebangsaan.

Selain itu kebijaksanaan Rimpa berdepan dengan cabaran kemiskinan ketika menuntut di Akademi Seni Kebangsaan. Rimpa bijak berjimat cermat dan menghantar hasil penulisannya ke akhbar-akhbar dan majalah untuk menampung perbelanjaannya.

Antara nilai kebijaksanaan watak utama dalam novel Seteguh Karang ialah kebijaksanaan Awanis dalam menghadapi kegagalan. Walaupun gagal pertama kali dalam peperiksaan SPM namun hal itu tidak mematahkan semangatnya untuk mengambil semula SPM. Awanis berjaya mendapat keputusan yang baik dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke UiTM.

Selain itu terdapat juga kebijaksanaan Awanis berdepan dengan Encik Johari yang memandang rendah keupayaan wanita. Awanis cuba membuktikan segala pandangan Encik Johari itu tidak benar. Oleh itu, Awanis sanggup menghadapi segala cabaran yang diberikan oleh Encik Johari termasuklah menjatuhkan setandan buah kelapa sawit.

g) Sesebuah karya novel banyak mengandungi nilai murni. Dengan memberikan contoh berdasarkan novel yang anda pelajari, nyatakan apakan tujuan nilai- nilai murni diterapkan dalam karya.

Terminal Tiga
Antara tujuan nilai-nilai murni diterapkan dalam karya adalah untuk dijadikan sebagai teladan atau ikhtibar kepada pembaca berdasarkan sesuatu peristiwa atau kejadian. Dalam novel Terminal Tiga, nilai ketabahan yang ditunjukkan Rimpa yang sentiasa tabah menghadapi segala cabaran seperti kemiskinan hidup dan tidak melemahkan semangatnya untuk terus menimba ilmu perlu dijadikan contoh oleh pembaca.


Selain itu, nilai-nilai murni juga adalah untuk menunjukkan budaya atau cara hidup sesebuah masyarakat. Dalam novel Terminal Tiga nilai prihatin yang ditunjukkan oleh Ruzaini terhadap keluarga Rimpa sepanjang Rimpa berada di Akademi Seni Kebangsaan menggambarkan budaya dan cara hidup masyarakat pedalaman Sabah yang masih kukuh nilai kejiranan mereka.

Di samping itu juga, nilai-nilai murni dalam karya adalah untuk memperlihatkan sifat-sifat terpuji watak-watak terutama watak utamanya. Dalam novel Terminal Tiga, hal ini dapat dilihat melalui kegighan Rimpa menuntut ilmu meskipun berdepan dengan masalah keluarga dan kewangan.

Seteguh Karang
Antara tujuan nilai-nilai murni diterapkan dalam karya adalah untuk dijadikan sebagai teladan atau ikhtibar kepada pembaca berdasarkan sesuatu peristiwa atau kejadian. Dalam novel Seteguh Karang nilai ketabahan yang ditunjukkan Awanis yang sentiasa tabah menghadapi dugaan hidup seperti kematian ayah dan ibunya dalam kemalangan jalan raya perlu dijadikan contoh oleh pembaca.

Selain itu, nilai-nilai murni juga adalah untuk menunjukkan budaya atau cara hidup sesebuah masyarakat. Dalam novel Terminal Tiga nilai tolong-menolong yang ditunjukkan oleh Kak Nor terhadap Awanis dengan menumpangkan Awanis di rumahnya dan Awanis pula membantu membuat kerja-kerja dapur sepanjang Awanis menjalani praktikal di Hulu Terengganu menggambarkan budaya dan cara hidup masyarakat kampung yang masih kukuh nilai tolong-menolong mereka.

Di samping itu juga, nilai-nilai murni dalam karya adalah untuk memperlihatkan sifat-sifat terpuji watak-watak terutama watak utamanya. Dalam novel Seteguh Karang, hal ini dapat dilihat melalui kegigihan Awanis menuntut ilmu. Meskipun gagal pertama kali mengambil SPM, namun Awanis terus gigih mengambil semula SPM dan berjaya melanjutkan pelajarannya ke UiTM.

h) Berdasarkan dua novel yang anda pelajari, bandingkan satu nilai kemanusiaan yang terdapat dalam setiap novel tersebut.

Novel yang saya kaji ialah novel Terminal Tiga dan Seteguh Karang.

Antara nilai kemanusiaan yang terdapat dalam novel Terminal Tiga ialah nilai tanggungjawab. Rimpa seorang yang bertanggungjawab terhadap keluarganya. Contohnya Rimpa sanggup pulang ke Sabah dan pergi ke Nabawan untuk mencari ayahnya yang dikhabarkan berada di sana.

Selain itu, nilai Ketabahan turut terdapat dalam novel ini. Rimpa merupakan seorang yang tabah. Contohnya Rimpa sentiasa tabah menghadapi segala cabaran seperti kemiskinan hidup dan tidak melemahkan semangatnya untuk terus menimba ilmu.

Dalam novel Seteguh Karang, antara nilai kemanusiaan yang dipaparkan ialah nilai baik hati. Pak Oni iaitu bapa saudara Awanis seorang yang baik hati. Contohnya Pak Oni selalu melawat Awanis dan membantu Awanis adik beradik menyediakan makanan setelah ibu bapa mereka meninggal dunia.

Selain itu, nilai kemanusiaan yang terdapat dalam novel Seteguh Karang ialah kasih sayang. Awanis menyayangi keluarganya. Contohnya Awanis sayangkan Anita walaupun Anita hanya merupakan adik angkatnya.

i) Jelaskan dua kesan yang dialami oleh pembaca selepas selesai membaca novel yang dipelajari.

Teminal Tiga
Antara kesan yang dialami oleh pembaca setelah selesai membaca novel Terminal Tiga ialah gembira. Hal ini demikian kerana ayah Rimpa telah kembali ke pangkuan keluarga setelah 10 tahun menghilang. Selain itu Rimpa akhirnya berjaya mendapat pinjaman sebanyak RM 3000 daripada Kementerian Kebudayaan Negeri Sabah.

Selain itu kesan sedih turut dialami oleh pembaca setelah selesai membaca novel Terminal Tiga. Contohnya peristiwa ketika Rimpa meninggalkan keluarganya dan kampung halamannya untuk berhijrah ke Kota Kinabalu dan seterusnya melanjutkan pelajarannya dalam keadaan yang dihimpit masalah kewangan kerana kemiskinan amat menyedihkan pembaca.


Seteguh Karang
Antara kesan yang dialami oleh pembaca setelah selesai membaca novel Seteguh Karang ialah gembira. Hal ini demikian kerana Awanis, Anita dan Kak Maysarah akhirnya berbaik dan bersatu kembali setelah berdepan dengan pelbagai konflik keluarga.

Selain itu kesan sedih turut dialami oleh pembaca setelah selesai membaca novel Terminal Tiga. Contohnya peristiwa ketika Awanis terpaksa mendaftar seorang diri di UiTM perlis Arau tanpa ditemani ahli keluarga setelah kematian ayah dan ibunya dalam kemalangan jalanraya.

3 comments:

Anonymous said...

thank very much.. i'm very appreciate it.. anda telah menolong saya wat folio komsas dengan mudah.. =)

Unknown said...

boleh tolong beri jawapan sinopsis seteguh karang?

Casino Cheating said...

This version has become outdated

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template